
PELUMBA muda negara, Putera Adam Halim, menamatkan musim perlumbaan Eropahnya dengan penuh gemilang apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori PRO dalam Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Europe 2025, selepas menamatkan dua perlumbaan terakhir di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, Itali, dengan kemenangan.
Kejayaan ini mengesahkan kedudukannya sebagai pelumba Malaysia dan Asia pertama yang menjuarai kategori
paling kompetitif dalam siri Lamborghini di benua Eropah.
Anak kelahiran Subang Jaya, Selangor berusia 19 tahun itu menampilkan kecekapan, ketenangan dan kematangan luar biasa sepanjang musim sulungnya bersama pasukanVincenzo Sospiri Racing (VSR).
Meskipun bersaing dengan barisan pelumba berpengalaman seperti Enzo Geraci dan Josef Knopp dari Oregon Team serta beberapa pelumba dari Program Bakat Pemandu muda Lamborgini, Putera Adam berjaya mengumpul 114 mata keseluruhan hasil prestasi konsisten di setiap pusingan.
Memulakan musim dengan kekecewaan apabila beliau terlibat dalam kemalangan pada pusingan pembukaan di Paul Ricard. Namun semangat juang dan dedikasi tinggi membawanya bangkit luar biasa di pusingan kedua di Monza, apabila beliau bersama rakan sepasukan, Paul Levet, mencipta kejutan menewaskan pelumba-pelumba pilihan untuk kemenangan pertama musim ini.
Momentum kemenangan itu berterusan apabila beliau berjaya menamatkan perlumbaan di Spa-Francorchamps di tempat podium, sebelum mengukuhkan kedudukan kejuaraan dengan kemenangan di Barcelona.
Di Misano, Putera Adam mempamerkan pemanduan paling sempurna musim ini bermula dari petak keempat dan menamatkan perlumbaan pertama serta kedua di tempat teratas, sekali gus memastikan mahkota juara keseluruhan menjadi miliknya.
Jelasnya, musim penuh cabaran dan pembelajaran dan dia mungkin pelumba paling muda dan kurang berpengalaman di grid, tetapi saya belajar daripada setiap perlumbaan, setiap lap, dan setiap kesilapan.
“Gelaran ini untuk Malaysia, keluarga saya dan semua yang menyokong saya sejak awal,” kata Putera Adam dengan penuh emosi sejurus selepas perlumbaan di Misano,” ujarnya.

Kemenangan ini turut memastikan Vincenzo Sospiri Racing merangkul Kejuaraan Pasukan (Team Championship) musim 2025. Pengarah pasukan, Vincenzo Sospiri, bekas juara Formula 3000, memuji prestasi anak didiknya itu, menyifatkan Putera Adam sebagai “bakat muda luar biasa yang cepat menyesuaikan diri dengan tekanan kejuaraan dunia.
Kejayaan ini menandakan permulaan era baharu bagi sukan permotoran Malaysia. Putera Adam bukan sekadar membuktikan kemampuan anak tempatan di pentas global, malah membuka lembaran inspirasi baharu untuk generasi muda negara.





Add Comment