SELEPAS kejayaan mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan warga emas di Johor, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) mengenalpasti Perlis dan Kelantan menjadi destinasi terbaharu program tersebut.
Selaras visi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menjelaskan, pihaknya sentiasa mempromosi aspek kesihatan baik dalam kalangan ahlinya mahupun masyarakat.
“Kita ada lebih kurang 3,100 ahli dan kebanyakkannya berusia lebih 50 tahun. Kita sudah melakukannya di Johor Bahru baru-baru ini dan selepas ini kita akan ke Perlis.
“Kita akan memperkenalkan bekas atlet ini untuk melakukan aktiviti (senaman dan bersukan) bersama warga emas di daerah atau kawasan perumahan mereka,” tegasnya ditemui media selepas program Konvoi Jiwa Merdeka Subang Jaya 2024.
Program yang turut disertai Yakeb bersama beberapa pihak bersempena sambutan Hari Merdeka ke-67 ini di pusat membeli belah Da Men Mall, turut menghimpunkan tujuh bekas pemain kebangsaan.
Antara yang menyertai program, bekas pemain badminton kebangsaan Goh Liu Ying, Datuk Foo Kok Keong dan Datuk Rashid Sidek; Datuk Marina Chin dan Datuk Zaiton Othman (olahraga); Datuk Dollah Salleh (bola sepak) dan legenda bina badan negara, Datuk Malek Noor.
Tambah Noorul lagi, Yakeb menghimpunkan tujuh legenda untuk menyertai konvoi bersama kereta klasik dan sambutan yang sangat baik serta ramai mengimbau kembali kejayaan dan pengorbanan bekas atlet ini.
“Kita juga mengadakan aktiviti ‘Meet&Greet’ bersama legenda ini dan ini bakal membantu bagi memupuk semangat kesukanan bagi warga emas,”jelasnya.








Add Comment