
PEMAIN sayap Negeri Sembilan FC, Hein Htet Aung menyifatkan kehadiran Ikhwan Yazek dan Hadin Azman bersama pasukan akan menutup peluangnya untuk beraksi sebaliknya percaya persaingan yang sihat akan dapat meningkatkan lagi potensi dirinya untuk lebih bekerja keras.
Baginya dia tiada masalah untuk bersaing dengan rakan sepasukannya dan gembira dengan kehadiran mereka ke sini.
“Kami pun sudah macam adik-beradik di sini dan persaingan yang sihat ini adalah untuk membantu kelab ini juga.
“Apa pun, sokongan penyokong juga amat penting kepada kami dan saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa ada untuk kami”, jelasnya.
Htet Aung turut merasakan keserasiannya bersama Negeri Sembilan juga bertambah baik selain berharap prestasinya akan terus meningkat dengan misi menambah jaringan gol pada musim ini dan ingin terus ambil peluang menjaringkan gol selepas sekali lagi dipinjamkan dari Selangor FC untuk musim ini.
Dengan dua gol yang berjaya dilakukan pemain import dari Myanmar ini pada musim 2023 membuktikan kudratnya sentiasa diperlukan skuad Jang meskipun hanya bersama pasukan selama empat bulan sejak dipinjamkan tahun lalu.
“Sangat bagus apabila dapat kembali berlatih dan sekarang adalah masa untuk mengenali pemain-pemain baharu yang datang ke sini.
“Sudah tentu saya sangat gembira apabila sekali lagi dapat dipinjamkan sebab saya pun dah pernah beraksi di Negeri Sembilan pada musim lepas dan saya tahu apa yang saya boleh buat di sini.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan yang masih percayakan saya dan saya memang ingin menjaringkan seberapa banyak jaringan atau pun dapat melakukan bantuan gol”, jelasnya.






Add Comment