
KEPUTUSAN pengadil perlawanan S. Logeswaran memberikan sepakan penalti kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu FC, Jumaat lalu adalah tepat selepas penelitian rakaman video dilakukan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung beberapa keputusan pada aksi final tersebut yang dipertikaikan.
Tambahnya, bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama JDT pada minit keenam, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain Terengganu FC ke atas pemain lawan dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.
“Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan Terengganu FC pada minit ke-21 pula, kesalahan pemain JDT terhadap pemain Terengganu FC telah jelas dilihat dan dibantu oleh Pembantu Pengadil Tambahan 1, sekali gus keputusan pengadil dibuat berdasarkan bantuan daripada Pembantu Pengadil Tambahan 1 dan bukanlah atas desakan dan permintaan daripada pemain-pemain Terengganu FC,” ujarnya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mengenai pemilihan S. Logeswaran selaku pengadil perlawanan, Noor Azman memaklumkan FAM tidak dapat melantik pengadil dalam kalangan enam Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) disebabkan beberapa faktor dan kekangan.
Katanya, Logeswaran juga merupakan antara pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia dengan beliau adalah Pengadil Kebangsaan Kategori A.
“Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria merupakan pengadil kelahiran Terengganu, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pengadil berdaftar di Johor manakala Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar sebagai pengadil di Johor, sekali gus mereka tidak dapat dilantik atas faktor pengadil berstatus berkecuali.
“Baki dua lagi Pengadil FIFA, Suhaizi Shukri dari Kedah terlibat dengan tugasan Piala AFC manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi untuk tugasan pengadil.
“Berdasarkan situasi tersebut, pemilihan S. Logeswaran dari Selangor telah dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas mengambil kira faktor beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik di sepanjang Liga Malaysia 2023 mengikut laporan penilai pengadil, selain beliau adalah pengadil yang berkecuali,” jelasnya.
Sementara itu dalam perkembangan yang sama, FAM tidak menerima apa-apa maklumat berkaitan teguran yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina terhadap mutu pengadilan pada aksi final tersebut dan apa yang tular di media sosial itu adalah berita atau kenyataan palsu.





Add Comment