
Chengdu, China – Temasya Sukan Universiti Dunia atau lebih dikenali sebagai Universiade melabuhkan tirainya di Chengdu, China malam tadi.
Sekali lagi China membuktikan kepada dunia bahawa mereka sememangnya penganjur dan tuan rumah yang paling hebat dalam sejarah dengan mengangkat Universiade Chengdu ini benar-benar bertaraf Sukan Olimpik Universiti Dunia.
China muncul juara keseluruhan hingga tidak terkejar oleh negara lain dengan mengumpul 103 pingat emas, diikuti Jepun ke-dua dengan 21 pingat emas dan Korea Selatan ketiga dengan 17 pingat emas.
Kehebatan China sebagai penganjur temasya edisi ke-31 ini tidak mungkin dapat ditandingi oleh beberapa tuanrumah termasuk Universiade Jerman 2025 nanti.
Penanda aras yang begitu tinggi menerusi skala penganjuran serta ‘set up” yang memukau selaku tuanrumah alaf baru ini dilihat bersepadu dengan aspirasi China untuk menjadi kuasa besar dan utama dalam menguasai pelbagai sukan di dunia menjelang 2035 nanti.
“Chengdu Makes Dream Come True”, tema keramat Universiade Chengdu ini sememangnya telah melengkapkan impian bukan sahaja masyarakat di sini yang sentiasa sahaja memenuhi setiap venue pertandingan, seolah-olah mereka sudah menunggu begitu lama sejak 2021 tatkala seluruh dunia dilanda pandemik Covid hingga menyebabkan Universiade Chengdu tertangguh dan hanya dapat dianjurkan dua tahun selepas itu.
Malah beribu impian yang dibawa oleh kebanyakan kontinjen dari 120 negara yang berhimpun di sini dengan penuh harapan, percayakah mereka bahawa impian mereka akan tertunai seperti yang dijanjikan oleh bumi bertuah di bahagian barat China ini yang mempunyai penduduk hampir 20 juta orang.
Kontinjen Malaysia tidak terkecuali. Sejak penyertaan secara kecil-kecilan di Universiade Kobe, Jepun 1985, setiap kali menyertai Universiade demi Universiade, impian untuk merangkul pingat emas sulung di temasya ini terus menjadi mimpi dan igauan.
Akhirnya, Chengdu seperti menunaikan impian seluruh atlet negara dan rakyat Malaysia untuk menjadi kenyataan.

Penantian selama 38 tahun itu akhirnya tertunai dan telah memahat sejarah negara apabila atlet wushu, Tammy Tan Hui Ling merangkul pingat emas pertama menerusi acara qiangshu wanita di Gymnasium Chengbei pada 31 Julai 2023.
Ia mengemparkan seluruh kontinjen Malaysia dan dunia sukan negara. Ibarat datang ke Chengdu ‘rendah gunung tinggi harapan’, sasaran 3 pingat (dirasakan sukar untuk dicapai) tanpa mengira warna untuk kontinjen Malaysia tercapai sudah dengan sebutir pingat keramat itu.
Malah ternyata pingat emas dari Tammy bagaikan satu ‘tonik ajaib’ yang membangkitkan semangat juang rakan atlet lain untuk wushu yang menambah 3 lagi pingat gangsa menerusi Mandy Cebelle Chen (tajiquan wanita), Calvin Lee Wai Leong (nangun lelaki) dan Ang Qi Yue (daoshu lelaki).
Sekaligus misi Malaysia di Universiade Chengdu sudah melebihi sasaran. Wushu menyumbang 1 pingat emas dan 3 pingat gangsa.
Ia bagaikan tahun paling gemilang untuk Malaysia di Universiade ditambah lagi dengan pencapaian satu lagi pingat perak menerusi dua penerjun muda negara, Kimberly Bong Qian Ping dan Ong Ker Ying.
Bagaikan gandingan ‘bidan terjun” yang baru dipupuk selama dua minggu sebelum ke Chengdu, penerjun negara ini merangkul pingat perak untuk kontinjen Malaysia.
Manakala badminton yang cemerlang ketika di Universiade Taipei 2017 dengan 1 perak dan 3 gangsa tidak mahu pulang tangan kosong di sini.
Berdepan pelbagai kesukaran dan kecederaan pemain, skuad badminton menyumbang dua pingat gangsa untuk Malaysia menerusi acara berpasukan campuran dan bergu lelaki.
Walaupun tanpa tambahan pingat lagi, kontinjen Malaysia di Universiade Chengdu ini turut melakar beberapa kejayaan tambahan. Bryan Leong Xin Ren memadamkan rekod kebangsaan berusia 14 tahun milik Daniel Bego dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu dengan masa 24.35 saat.
Manakala pelari sensasi 400 meter negara, Umar Osman mencatat sejarah memadamkan rekod kebangsaan miliknya yang dilakukannya di Sukan Sea Kemboja Mei lalu iaitu 46.34 saat.
Di Chengdu dia memadamkannya sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam dengan masa 46.33 saat & 46.09 saat dan layak beraksi di akhir.

Kuartet 4 x 400 (m) lelaki dan wanita juga mencatat sejarah buat kali pertama layak beraksi dalam perlumbaan akhir acara tersebut sekalipun gagal menyumbang sebarang pingat.
Begitu juga Grace Wong acara lontar tukul besi dan Queenie Ting dalam acara lempar cakera turut melakar sejarah layak beraksi di final.
Sekaligus melengkapkan episod cerita gembira buat kontinjen Universiade Malaysia di Chengdu dengan pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan dengan 1 pingat emas, 1 pingat perak dan 5 pingat gangsa.
“Kita dah cipta sejarah tamatkan kemarau 38 tahun untuk dapat pingat emas pertama Universiade, ini temasya sukan Olimpik Universiti yang ‘levelnya’ sangat tinggi.
Perit untuk dapat pingat di sini. Saya harap ini buka mata Persatuan Sukan Kebangsaan dan Majlis Sukan Negara agar benarkan atlet-atlet terbaik, bukan atlet ‘tier dua’ yang boleh kita bawa ke Universiade pada masa akan datang”. Datuk Dr Pekan Ramli – Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen Universiade Malaysia.
Add Comment