Mohd Adib kekalkan kedudukan peneraju keseluruhan


Mohd Adib di kedudukan pertama perlumbaan peringkat 3 Pahang POPIC 2022 di Pantai Balok, Kuantan pada hari ini.

KUANTAN, 9 September – Pendayung Pahang, Mohd Adib Kamaruzrizan kini ‘sebelah kaki’ untuk ditabalkan juara keseluruhan kategori kebangsaan TK1 lelaki apabila menjuarai perlumbaan Peringkat 3 Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Balok di sini pada Jumaat.

Adib merekodkan catatan masa 1 jam 19 minit 21.95 saat untuk sekali lagi meninggalkan dua pencabar terdekatnya – Daing Sulaiman Daing Suhaimi (1:19:57.33s) dan Freddy Anggang (1:21:09.43s) dalam perlumbaan sejauh 13 kilometer itu.

“Sebelum kejohanan ini bermula, saya sedar Daing dan Freedy akan menjadi antara pencabar utama saya. Freddy boleh dianggap legenda dalam sukan kanu kerana beliau berpengalaman luas tetapi saya dan Daing masih baharu.

“Jadi untuk baki dua peringkat lagi, saya cuba mengekalkan momentum dan kalau boleh, terus menjarakkan catatan masa. Selebihnya, saya berserah jika ada rezeki muncul juara keseluruhan,” katanya yang menjuarai Peringkat 1 dan 2 sebelum ini.

Gandingan Pahang, Ahmad Azfaruddin Lukman-Imam Sujadi Satta turut mengekalkan status pendahulu kategori TK2 lelaki dengan dicabar hebat satu lagi wakil Pahang, David Bong Xia Shing-Aderian Adek dan duo Terengganu, Muhammad Adhwa Danish-Muhammad Mustaqim.

 Pada perlumbaan Peringkat 3, Azfaruddin-Imam Sujadi yang pada mulanya muncul pemenang pertama, dikenakan penalti dua minit kerana tersalah mengikut laluan sepatutnya sehingga mengakibatkan mereka jatuh di tangga kedua.

Nasib sama turut dialami David Bong-Aderian yang jatuh di tangga ketiga biarpun melintasi garisan penamat di tempat kedua manakala rezeki ‘sang juara’ milik Adhwa Danish-Mustaqim yang sebelum itu mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga.

“Dengan berbaki dua peringkat, strategi kami hanya mahu mengekalkan momentum. Pertamanya, sebaik permulaan, kami akan cuba berada di depan dan kedua, kami akan cuba sedaya upaya meninggalkan pesaing lain di belakang,” ujar Azfaruddin.

Sementara itu, wakil Terengganu yang juga pasangan adik beradik, Norazita-Nursaibah Syahida Ibrahim terus gah mengungguli carta kategori TK2 wanita selaku pendahulu keseluruhan apabila muncul juara dengan catatan masa 1:26:29.13s.

Gandingan adik beradik yang mewakili Outdoor Addict, Dayang Nur Sakinah-Dayang Nur Hanisah Awang Ali pula menduduki tempat kedua apabila merekodkan 1:30:54.19s manakala Siti Normah Abdul Rahman-Mustika Ayuni Mustofa di tempat ketiga (1:30:57.37s).

Bagi kategori inter-varsiti lelaki, status juara kekal milik Tuan Muhamad Hidzam Tuan Dolah-Mohd Azman Ibrahim (UNISZA); naib juara Muhammad Farhan Haqimi Abdul Latiff-Mohamad Faiz Rosdin (UTHM) dan tempat ketiga Mohamad Izzat Anam-Muhammad Hafizi Ab Aziz (UNISZA).

Bagi kategori inter-varsiti wanita, wakil UTHM, Ain Syuhadah Zulkifli-Nur Amira Syafiqah Rosli muncul juara diikuti Nur Aleya Nafisha Norhanafi-Alya Athirah Shaharaziz (UTHM)dan Nor Natasha Mohd Yusuf-Yusriyah Athirah Yusof (Outdoor Edit UPSI).

Acara kemuncak POPIC 2022 bagi kategori antarabangsa sekali lagi menyaksikan bekas juara dunia, Dawid Mocke dari Afrika Selatan dan Danielle McKenzie (New Zealand) mempertahankan status pendahulu saingan lelaki dan wanita.

 Namun, podium utama kategori antarabangsa lelaki Peringkat 3 disambar naib juara dunia Bawah 23 tahun, MacKenzie Hynard, sekali gus bakal menjanjikan persaingan sengit dalam memburu mahkota juara keseluruhan berbaki dua peringkat.

POPIC 2022 – kejohanan kanu antarabangsa yang julung-julung kali diadakan di Pahang akan diteruskan pada Peringkat 4 di Pantai Cherating, Kuantan (Sabtu) sebelum melabuhkan tirainya pada Peringkat 5 di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan (Ahad).


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: