
FOTO SELANGOR FC
Michael Feichtenbeiner telah mencapai persetujuan bersama Selangor FC untuk beliau melepaskan jawatan Ketua Jurulatih Pasukan Utama yang telah digalas selama setengah musim bagi tahun 2022.
Perbincangan tersebut menyaksikan Feichtenbeiner kembali ke posisi Pengarah Sukan Selangor FC memberi fokus sepenuhnya kepada projek pembangunan bola sepak Selangor yang disandang sejak tahun 2022.
“Projek pembangunan bola sepak Selangor yang dimulakan Michael Feichtenbeiner sejak tahun 2020 telah melahirkan ramai pemain muda yang mewakili Pasukan Utama Selangor FC dan Pasukan Kebangsaan Malaysia.
“Sehingga kini seramai 19 pemain muda dari Pasukan Feeder Selangor FC telah diserap ke Pasukan Utama seperti Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem, Hein Hiet Aung, Alex Agyarkwa, Quentin Cheng dan ramai lagi.
Pada tahun ini juga, seramai 10 pemain muda Selangor telah dipilih mewakili Skuad B23 Kebangsaan dan seramai 13 pemain muda lagi telah mewakili Skuad B19 Kebangsaan dalam pelbagai kejohanan peringkat ASEAN dan Asia,” kata Selangor FC dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, Selangor FC juga merupakan antara pasukan termuda (mengikut purata umur) dalam saingan Liga Malaysia 2022 dan pihak kelab percaya kesinambungan masa depan Kelab ini wajar diteruskan.
“Pencarian Ketua Jurulatih baharu sedang dijalankan dan pihak Kelab akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja segala penelitian telah dibuat.
“Tugas tersebut kini digalas oleh Pembantu Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil yang akan mengambil alih tanggungjawab mengemudi pasukan utama Selangor sebagai Ketua Jurulatih sementara bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2022,” katanya.
Add Comment