
Terengganu mara ke pentas final Piala FA 2022 selepas mengatasi Selangor melalui sepakan penalti 4-2 setelah terikat 1-1 pada masa sebenar di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
Selangor terlebih dahulu mendiamkan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol pada minit ke-24 menerusi Nor Hakim Hassan.
Terkejut dengan jaringan tersebut, Sang Penyu kembali menyusun formasi dan melakukan serangan namun keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Sebaik babak kedua disambung, Faisal Halim melegakan penyokong Terengganu apabila dia menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-48 untuk membuka kembali peluang kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun keputusan tersebut kekal sehingga 90 minit masa penuh dan perlawanan diheret ke masa tambahan.
Pada masa tambahan juga memperlihatkan kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan sebelum perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol Terengganu, Raihadiazli Rahalim muncul wira pasukan tersebut apabila menafikan dua percubaan lawan untuk membantu mereka menang 4-2 pada penentuan sepakan penalti dan mara ke pentas final Piala FA 2022 bertemu JDT pada 28 Ogos ini.

Add Comment