FAKULTI Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam memeterai kerjasama dengan Kelab Badminton RS yang dikendalikan legenda badminton Malaysia, Datuk Rashid Sidek untuk membangunkan satu Modul Asas Kejurulatihan Badminton yang akan digunakan sebagai sebahagian dari kursus pengajian mereka.
Objektif utama kerjasama ini adalah bagi melahirkan guru-guru terlatih dalam bidang kejurulatihan badminton, secara tidak langsung boleh diguna pakai ketika mengajar di sekolah, untuk melahirkan bakat-bakat baru di peringkat akar umbi, Seterusnya bakal melahirkan jaguh badminton negara pada masa akan datang.
Buat permulaan, kerjasama pembangunan modul dengan Kelab Badminton RS yang juga Rakan Industri UiTM akan disertai kira-kira 50 orang pelajar jurusan Pendidikan Jasmani & Kesihatan (Pengurusan Acara), dan akan diperkemaskan dari masa ke masa agar usaha pembangunan sukan di peringkat akar umbi dapat terus diperkasakan.
Menurut Rashid, pelantikan itu bersesuaian dengan matlamat DOESATA untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat melalui gaya hidup aktif.
“Tidak kiralah dalam apa juga yang kita lakukan, perlulah sentiasa mempunyai semangat mahu menang, tidak mudah mengalah serta sentiasa memberikan persembahan yang terbaik.
“Dalam keadaan yang sukar ketika ini, pelbagai isu berlaku, sehingga ada individu yang mengambil jalan diluar jangkaan. Setiap dari kita mempunyai tanggungjawab untuk membantu di antara satu sama lain.

“Untuk menang dalam cabaran ini, kita semua perlulah mempunyai sikap berjiwa juara,” kata Rashid yang juga dilantik sebagai Duta “DOESATA By Madu Tujuh” oleh Doesata Sdn Bhd, pengeluar madu tualang asli yang berpengkalan di Mentakab, Pahang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Doesata Sdn Bhd, Tabah Sazwan Othman berkata, pelantikan Rashid sebagai duta produk sangat signifikan dengan matlamat syarikat yang mahukan masyarakat sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat melalui pengambilan madu secara rutin.
“Madu merupakan makanan tambahan yang memberikan tenaga secara semulajadi. Pengambilan madu secara rutin dapat meningkatkan taraf kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Selain itu madu juga berkhasiat meningkatkan potensi dan prestasi secara maksimum melalui amalan gaya hidup aktif,” kata beliau.
Doesata juga tidak menolak kemungkinan melantik beberapa lagi legenda sukan negara sebagai rakan duta agar matlamat gaya hidup sihat dan aktif bersama Madu Doesata ini akan dapat ditingkatkan dan dipromosikan seperti mana yang masyarakat sedia maklum madu sememangnya makanan tambahan terbaik untuk kesihatan tubuh badan.
Dalam pada itu, Doesata Games turut dilancarkan, yang merupakan satu inisiatif bertujuan memupuk Gaya Hidup Aktif dalam kalangan pengguna.
Pemilihan sukan Badminton sebagai pembuka kalendar acara dilihat tepat memandangkan ianya sukan kedua popular di Malaysia selepas bola sepak.
Penganjuran ini akan turut mendapat Kerjasama Fakulti Pendidikan UiTM Puncak Alam, di mana ia akan dikendalikan oleh pelajar sebagai salah satu tugasan jalinan kerjasama bersama Rakan Industri.
Menerusi usaha ini, para pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran dalam Pengurusan Acara, tetapi juga menimba pengalaman sebenar industri, sebelum memasuki dunia memasuki dunia pekerjaan melalui pendedahan secara komprehensif dan meningkatkan soft skill pelajar.
Pertandingan badminton ini dijangka berlangsung pada bulan Jun 2022 dan dianjurkan oleh Doesata By Madu Tujuh.
Dua kategori dipertandingkan iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Remaja. Pertandingan ini menawarkan hadiah keseluruhan hampir mencecah RM10,000.
Maklumat lanjut pertandingan boleh diperolehi di laman sesawang doesata.com.my
Add Comment