
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PRESIDEN Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader hairan dengan tindakan Presiden Persatuan Sepaktakraw Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang mempertikaikan keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) meluluskan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC).
Abdul Halim pada masa sama juga mempertikaikan Tengku Zaihan yang dengan beraninya menempelak kredibiliti ASTAF dalam membangunkan sepak takraw di Asia.
” Amat menyedihkan dan kasihan kepada Tengku Zaihan Presiden Persatuan Sepaktakraw Terengganu yang belum sampai setahun jagung mengenali sepak takraw dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) malahan jika ditanya asal usul PSM pun belum tentu mampu diperjelaskan beliau tiba-tiba bangkit bergaya untuk mempertahankan kedudukan PSM yang telah pun diexpel ASTAF.
“Alangkah baiknya jika tindakan beliau tersebut dilakukan pada Mei 2021 lagi. Lebih parah lagi bila mana beliau turut mempertikaikan keputusan PJS meluluskan MSC dan juga dengan beraninya menempelak kredibiliti ASTAF dalam membangunkan sepak takraw di Asia.
“Kenyataan Presiden Persatuan Sepaktakraw Terengganu itu juga memperlihatkan seolah olah beliau telah dipergunakan oleh pihak lanun berkepentingan pertahan kuasa untuk menegakkan benang yang basah,” ujarnya menerusi kenyataan yang dikongsikan kepada CakapSukan.
Tambahnya lagi, Halim mengharapkan agar Tengku Zaihan janganlah mudah terpedaya dengan pujuk rayu PSM yang ternyata telah merosak imej dan maruah sepak takraw.
“Dulunya Tengku Zaihan ajak Terengganu lari dari PSM, Kenyataan media pun telah dibuat keluar PSM, Tiba- tiba je patah balik. Kasihan Terengganu yang telah lama terlibat dalam sepak takraw.
“Harap Tengku Zaihan belajar lagi tentang selok belok role ASTAF sebelum berkata kata.Saya tidak percaya akan kenyataan yang telahpun dibuat oleh beliau seorang yang lemah lembut melainkan arahan atau pujukan dari tangan ghaib dalam PSM.
“Bertaubatlah sebelum terlambat,” ujarnya.
Untuk rekod, sebelum in Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) tetap berdiri teguh di belakang Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) walaupun badan itu tidak diiktiraf oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).
Presidennya, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, walau apapun terjadi, PSNT tidak akan sesekali ‘bercerai’ dan tetap menjadi ahli gabungan PSM walaupun Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) mendapat restu daripada ASTAF sebagai ahli gabungannya.
Add Comment