Lain-Lain

Keputusan Farah Ann ke Sukan SEA Hanoi Sabtu ini


Status Farah Ann sehingga kini masih belum diketahui.

HARAPAN untuk menyaksikan ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi beraksi pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam Mei ini mungkin tidak kesampaian.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril memberi bayangan bahawa pemenang emas Sukan SEA 2019 itu mungkin tidak menyertai temasya dwitahunan tersebut.

Namun jelas Afrita, peluang masih terbuka untuk Farah Ann menyertai Sukan SEA pada saat-saat akhir jika atlet itu menjelaskan status terkininya bersama skuad kebangsaan sebelum 12 Mac ini, iaitu tarikh akhir pendaftaran oleh pihak penganjur temasya ini.

“Saya boleh beri bayangan bahawa Farah Ann mungkin tidak dapat bertanding dalam Sukan SEA… tetapi kita masih ada masa tiga hari lagi untuk membuat keputusan.

“Namun, dalam masa tiga hari ini, sama ada kita ada pilihan atau tidak (untuk menyenaraikan Farah Ann dalam pasukan), tertakhluk kepada Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada pihak teknikal dan para jurulatih dan mereka juga akan meneliti laporan perubatannya sama ada beliau bersedia atau tidak untuk bertanding,” katanya kepada Bernama.

Difahamkan MGF telah menghantar senarai akhir gimnas yang akan mewakili negara ke temasya tersebut kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Selasa.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut memaklumkan bahawa status penyertaan Farah Ann ke Vietnam akan hanya diketahui Sabtu ini, berikutan badan induk itu masih menunggu kata putus daripada MGF.

Kedudukan atlet gimnas kelahiran Selangor itu dalam pasukan kebangsaan masih menjadi teka-teki selepas beliau dilaporkan tidak mengikuti latihan selama tiga minggu dan dikatakan kemungkinan untuk bersara.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: