Bola Sepak

Penang FC dan MUFC kongsi mata


Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENANG FC dan Melaka United FC yang masih gagal meraih kemenangan terus menerima nasib yang sama apabila sekadar seri 1-1 pada aksi kedua Liga Super 2022 yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, sebentar tadi.

Harimau Kumbang kecundang 0-1 pada aksi pertama ketika aksi di Johor Bahru menentang JDT manakala MUFC pula dikejutkan dengan keputusan yang sama  kepada Petaling Jaya City FC.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk menguji penjaga gawang pelawat, Norazlan Razali menerusi pertahanan import Rafael Victor yang melakukan sepakan percuma pada minit ke-6 namun tiang menjadi penghalang untuk gol pertama Penang FC.

Harimau Kumbang sekali lagi memilik peluang didepan gawang Sang Kancil selang seminit kemudian namun tandukan lemah Daniel Ashraf yang tidak dikawal gagal menepati sasaran.

Tersentak dengan asakan berterusan lawan, MUFC mula mengatur gerakan dan memperkemaskan corak permainan menerusi gandingan Ifedayo, Sony Norde dan Adriano.

Gol yang dicari tuan rumah akhirnya terhasil menerusi Daniel Ashraf yang bijak melakukan larian melepasi kawalan pertahanan pelawat selepas mendapat hantaran dari rakan sepasukan sebelum melakukan rembatan menewaskan Norazlan pada minit ke-27.

Tidak cukup dengan satu gol, Penang FC terus mengasak dan hampir menggandakan jaringan menerusi Khairul Akmal pada minit ke 34 namun tandukan pemain pertahanan itu  sedikit tersasar.

Kealpaan pertahanan tuan rumah nyata dihukum pelawat yang berjaya memperolehi jaringan penyamaan hasil gol sendiri pemain Penang FC, Latiff Suhaimi ketika cuba mengeluarkan bola dari sepakan penjuru pada minit ke-40.

Babak kedua pula mempamerkan penguasaan pelawat yang dilihat lebih berbisa berbanding tuan rumah melalui beberapa serangan bagi memburu gol kedua.

MUFC memilik beberapa peluang untuk burada dihadapan menerusi Sony Norde namun pemain import berkenaan gagal menyudahkan hantaran rakan sepasukan selain rembatan dari Adriano yang jauh tersasar dari gawang gol Penang FC pada minit ke-78.

Memasuki 10 minit terakhir separuh masa kedua, Harimau Kumbang dan Sang Kancil turut melakukan beberapa pertukaran bagi menambahkan tonik buat pasukan memburu gol kedua.

Ketangkasan penjaga gawang Penang FC, Khatul Anuar yang melakukan aksi menyelamat dengan menepis bola sepakan kencang dari Ifedayo pada masa kecederaan babak kedua memastikan keputusan seri 1-1 kekal sehinggalah tamat perlawanan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: