
KONFEDERASI Sepak Takraw Malaysia (MSC) telah disahkan sebagai ahli rasmi baharu Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).
Perkara itu disahkan oleh Presiden ASTAF, Abdul Halim Kader yang turut berkongsi sijil keahlian kepada Bernama yang ditandatangani bersama Setiausaha Agung ASTAF Boonchai Lorhpipat pada Sabtu.
“Ini mengesahkan bahawa Konfederasi Sepak Takraw Malaysia adalah ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia bagi tahun 2022 selaras dengan perlembagaan ASTAF.
“Keahlian ASTAF akan diperbaharui secara automatik setelah menerima yuran keahlian tahunan, dengan syarat ahli mematuhi kewajipan yang dinyatakan dalam Perlembagaan ASTAF,” menurut sijil tersebut.
Pada Khamis lalu, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta Kementerian Belia dan Sukan menyokong permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan ASTAF.
Sebagai rekod, kemelut sepak takraw negara bermula apabila ASTAF menyingkirkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021 susulan tindakan Presidennya ketika itu Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia OCA dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari tahun lepas.
Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Tok Mat’ kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun tahun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapatkan keahlian ASTAF.
Namun ASTAF baru-baru ini mengesahkan ia tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.
Berikutan itu, PJS membenarkan MSC untuk mendapatkan kepercayaan ASTAF dan ISTAF sebagai wakil Malaysia dalam sepak takraw di peringkat antarabangsa.





Add Comment