Badminton

BAM terima tajaan terbesar dalam sejarah


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memeterai penajaan terbesar dalam sejarah selepas menandatangani perjanjian selama tiga tahun bersama Petronas dan anak syarikatnya Petronas Dagangan Berhad (PDB).

Perjanjian penajaan itu sebagai usaha untuk meningkatkan lagi prestasi badminton Malaysia menerusi latihan dan persediaan pemain kebangsaan terutama menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 selain turut memberi manfaat kepada program pembangunan menyeluruh BAM.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, logo Petronas akan diletakkan dengan jelas pada jersi skuad kebangsaan bermula pada Kejohanan All England 2022 yang dijadualkan pada 16-20 Mac ini.

Petronas juga akan menjadi penaja utama Terbuka Malaysia pada Jun manakala Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara juga dikenali sebagai Petronas ABM.

“Sejak penubuhan BAM, ini adalah penajaan paling besar.

“Ini adalah hari bersejarah. Bagi kami (BAM) ini adalah berita baik yang menggemparkan… kita berasa sangat beruntung dan bertuah kerana Petronas bersama kita.

“Ini satu penajaan yang akan memberi peluang kepada kita untuk kekal fokus dengan perancangan menuju ke Paris 2024,” ujar Presiden BAM Tan Sri Mohamed Norza Zakaria tanpa mendedahkan jumlah tajaan diterima, pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian rakan kongsi antara BAM dan Petronas, Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDB Azrul Osman Rani berkata, Petronas dan PBD amat berbangga dapat bekerjasama dengan BAM dan dapat bersama-sama dalam misi untuk memartabatkan sukan badminton Malaysia di semua peringkat.

“Sebagai sebuah syarikat yang komited memberi tenaga kepada Malaysia, kami berkongsi keazaman persatuan ke arah pembangunan sukan mampan dan berterusan selaras dengan visi mereka untuk berjaya secara konsisten di persada dunia,” jelasnya. -Bernama

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: