Sepak Takraw

Kemelut sepak takraw: “Aktiviti-aktiviti atlet lebih penting daripada masalah politik persatuan”


Ahmad Faizal Azumu

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberitahu perkembangan sukan sepak takraw dan menjaga aktiviti melibatkan pemain jauh lebih penting berbanding permasalahan politik persatuan.

Dengan wujudnya dua entiti sepak takraw di peringkat kebangsaan pada masa ini, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mencari penyelesaian yang terbaik.

“Apabila perkara sebegini berlaku, kita kena melihat juga badan manakah yang mendapat pengiktirafan lebih tinggi di peringkat Asia dan dunia.

“Tetapi akhirnya, apa yang KBS dan kerajaan perlu pastikan ialah sukan itu berkembang, maju dan aktiviti-aktiviti atlet sepak takraw seperti pertandingan terjaga,” katanya.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menyingkirkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021.

Ia susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asian (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari.

Ahmad kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapat keahlian Astaf.

Namun, Astaf pada awal bulan ini menegaskan tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.

Berikutan it, PJS membenarkan penubuhan entiti baharu dikenali sebagai Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) untuk mendapatkan kepercayaan Astaf dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) sebagai wakil Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ahmad Faizal berkata, beliau belum berjumpa dengan kepimpinan baharu PSM yang dilaporkan berkata mahu menemuinya. – Bernama


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: