Bola Sepak

AFF 2022 : DOKS kongsi punca kekalahan Harimau Muda


Barisan pemain B23 menjalani latihan menjelang aksi menentang Laos, malam ini.

BEKAS Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee tanggapan memandang rendah kemampuan Laos antara penyebab kekalahan skuad Harimau Muda pada kempen Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, Jumaat lalu.

Tegasnya lagi, tanpa pemain utama beraksi di kejohanan tersebut, cabaran dari negara seperti Laos, Kemboja, Timor Leste dan Filipina tidak boleh lagi dipandang rendah.

“Idea untuk ‘merehatkan’ pemain utama dengan tanggapan pihak lawan adalah pasukan belasahan juga perlu dikikis, sekali gus membuka peluang kepada jurulatih untuk mendapatkan pemain dikehendaki bagi mengharungi kejohanan disertai.

“Ini bukan lagi tamparan (kekalahan kepada Laos), ini bagi saya merupakan ‘kedegilan’ kita. Berapa kali kita nak ‘ditampar’ dengan pasukan-pasukan seperti ini?.

“Kita perlu hentikan perkara ini, kita kena cari jalan penyelesaian untuk dapatkan pemain terbaik dalam pasukan. Bagi saya kita harus tampil dengan satu solusi untuk membenarkan pemain terbaik kita dapat didedahkan kepada perlawanan-perlawanan seperti ini,” katanya.

Kim Swee yang juga bekas ketua jurulatih skuad senior dan B-23 kebangsaan itu berkata, jika pasukan tidak berjaya mencapai sasaran ditetapkan, kegagalan itu tidak seharusnya diletakkan kepada individu tertentu.

“Sebagai contoh, saya, apabila Sukan Sea 2019 bukan dalam kalendar FIFA dan beberapa pemain tak dibenarkan sertai pasukan, apa berlaku pada saya?.. saya dipecat. Saya bukan mahu mempertahankan sesiapa cuma perkara ini dah banyak kali saya cakap.

“Daripada dulu bila kita tewas saya dah katakan kita tak boleh pandang rendah pasukan Laos, Kemboja dan Filipina dan kali ini terbukti, mereka telah mengurangkan jurang dengan pasukan kita,” katanya yang kini membimbing Sabah FC.

Sebagai rekod, kekalahan 1-2 itu adalah kekalahan pertama Malaysia dalam enam pertemuan terakhir menentang Laos di kejohanan peringkat B-23 sejak 2014.–Bernama–

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: