
SERGIO Aguero mendedahkan dia akan bersama pasukan Argentina pada aksi Piala Dunia Qatar tahun ini.
Penyerang berusia 33 tahun itu mengumumkan persaraannya Disember lalu selepas berdepan dengan masalah jantung ketika bermain bersama Barcelona menentang Alaves pada Oktober 2021.
Bagaimanapun bekas pemain legenda Manchester City itu kini bersedia memikul peranan baharu bersama pasukan kebangsaan negaranya.
“Saya akan pergi ke Piala Dunia di Qatar. Kami akan mengadakan perjumpaan minggu ini.
“Saya ingin berada di sana. Perancangannya adalah untuk sertakan saya dalam pasukan staf kejurulatihan, saya ada bercakap dengan (pengurus Lionel) Scaloni dan (presiden Claudio) Tapia.”
Aguero membantu Argentina memenangi Copa America pada 2021 dan dijangka akan bersama pasukan Scaloni menuju ke Qatar.

Peranan baharu Aguero ini pasti melegakannya memandangkan dia terlalu sedih ketika membuat pengumumam terpaksa berhenti bermain bola sepak baru-baru ini.
Malah Aguero juga turut berkongsi menerima empat tawaran kerja hanya beberapa minggu selepas mengumumkan persaraannya termasuk peranan duta global bersama bekas kelabnya, City.
Aguero baru-baru ini memberi gambaran yang menakutkan kepada peminat tentang keadaannya dan mengakui dia bimbang jantungnya ‘tidak berfungsi dengan baik’.
“Jika saya cuba bermain bola sepak sekarang, saya kehabisan nafas.
“Kadang-kadang saya terfikir sama ada saya akan dapat berlari lagi. Saya cuma rasa jantung saya tidak berfungsi dengan baik.”
Add Comment