
Oleh : SUBKHI SUDARJI / KHAIRUL AKMA
TONGGAK utama negara yang membantu mengungguli saingan kumpulan pusingan kelayakan di Mongolia tahun lepas, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar menyifatkan ketiadaan Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal tidak akan menjejaskan persiapan pasukan di kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Kemboja pertengahan bulan ini.
Tegasnya, memang pasukan mengharapkan pengalaman dimiliki Wan Kuzri untuk membantu pasukan namun dia dan rakan-rakan perlu mengharunginya tanpa kehadiran pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Pemain Terengganu FC II itu berkata ini kerana rata-rata pemain lain termasuk mereka yang kali pertama dipanggil menyertai kem latihan pusat itu menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha merebut tempat ke Kemboja.
“Sekarang ini persediaan pasukan dalam 80 peratus, semua tunjuk perkembangan positif sejak hari pertama latihan pada 27 Januari lepas.
“Saya nak cakap ketiadaan Wan Kuzri beri impak besar takdelah sangat, apa yang ada pemain ketika ini saya rasa kami semua mampu buat lebih baik walaupun tanpa dia, rakan sepasukan yang lain ketika ini memiliki keyakinan yang tinggi.
“Takpelah…apa yang kita ada (pemain) sekarang ini kita jalan ajelah, semua pemain tengah bersedia,” ujarnya ditemui pada sesi latihan di Padang PKNS, Kelana Jaya.
Skuad kebangsaan B-23 diundi dalam Kumpulan B, akan memulakan kempen menentang Myanmar di Stadium Prince pada 15 Febuari ini.
Anak buah Maloney kemudian akan bertemu Laos pada 18 Februari di venue sama sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan aksi berdepan Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.
Tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 26 Februari.






Add Comment