
PEKA dengan pentingnya pembangunan program sukan tanah air, Kolej Antarabangsa Cyberlynx menjadi Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pertama negara menawarkan Program Pelajar Atlet (SAP) dengan kerjasama akademi badminton tempatan.
Program SAP ditawarkan untuk tempoh dua tahun kepada pelajar yang berminat dalam bidang sukan dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan pendidikan.
Apa yang menarik program ini juga turut menyediakan elaun sebanyak RM350 sebulan berdasarkan merit sebagai sokongan bergelar pelajar dan atlet.
“Kolej Antarabangsa Cyberlynx bermula dengan program bola sepak dan secara beransur-ansur mengembangkannya program atlet pelajar ke sukan lain seperti teqball, silat, futsal dan Esports.
“Cyberlynx sebelum ini turut menjalin kerjasama dengan Southampton FC, sebagai rakan kongsi akademi antarabangsa eksklusif untuk Malaysia.
“Kami sentiasa melangkaui had untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi Program SAP. Kami menerima permintaan pasaran yang melonjak untuk program badminton dan berjaya mencari rakan kerjasama yang tepat yang berkongsi visi dan misi bagi memantapkan lagi penyampaian program ini.
“Dengan ini kami dengan sukacitanya mengumumkan, Akademi Pasukan Sixteen sebagai rakan kongsi rasmi untuk program pembangunan atlet pelajar badminton profesional kami,” jelas satu kenyataan.
Akademi Pasukan Sixteen merupakan akademi badminton tempatan yang berpusat di Cheras, dikendalikan oleh pemain antarabangsa Singapura kelahiran Malaysia, Waheeda Abdullah.

Waheeda pernah berkhidmat sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil dari 2018 hingga 2019 dan merupakan pemilik Kelab Badminton Bukit Cheras yang turut menyertai pertandingan Purple League. Malah, pada 2017, pasukan juniornya muncul sebagai Juara Divisyen Dua.
Kolej Antarabangsa Cyberlynx merupakan sebuah pusat pengajian swasta yang menawarkan program dalam pelbagai bidang termasuk sukan, perniagaan, senireka dan sains sejak lebih 25 tahun ditubuhkan.






Add Comment