Badminton

Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022 bermula 10 Februari ini


Nor Syazlan Abd. Razak (dua dari kanan), bersama-sama dengan Mat Rasid Jahlil (tengah) bergambar dengan barisan penaja bagi Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022.

PERSATUAN Badminton Johor (JBA) bakal menganjurkan Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022 bermula 10 hingga 13 Februari ini di Dewan NS Sport, Gelang Patah.

Presiden JBA Mat Rasid Jahlil memberitahu, kejohanan yang memasuki edisi ke-10 itu akan melibatkan pemain yang berusia di bawah 21 tahun dengan sasaran penganjuran adalah untuk memilih pemain yang akan mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan selain sebagai persiapan menjelang beberapa edisi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

“Objektif penganjuran ini adalah untuk mengumpul seberapa ramai pemain di negeri Johor untuk mereka beraksi secara kompetitif. Kejohanan ini juga menjadi pentas buat kami menilai dan memilih pemain untuk mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan.

“Selain itu, ini juga merupakan salah satu persiapan untuk persatuan mendapatkan kelompok pemain yang berpotensi untuk mewakili Johor bagi temasya SUKMA memandangkan para peserta masih lagi muda dan ada peluang untuk beraksi pada temasya itu kelak,” jelasnya pada sidang media di Ibis Styles Johor, Iskandar Puteri, Sabtu.

Turut hadir pada majlis sidang media tersebut ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ),  Nor Syazlan Abd. Razak serta Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj.

Menurut  Nor Syazlan, beliau memuji usaha dari JBA yang menganjurkan pertandingan ini bagi mencari lebih ramai bakat-bakat baharu dalam sukan badminton khususnya di negeri Johor.

“Sememangnya pertandingan ini sangat membantu pemain-pemain muda di sekitar negeri Johor untuk beraksi secara kompetitif. Saya juga percaya terdapat ramai pemain-pemain dari akar umbi yang sangat berbakat dan mereka perlu didedahkan kepada pertandingan kompetitif seperti ini.

“Sekiranya kita ingin berjaya, kita amat memerlukan kelompok pemain yang ramai untuk kita melatih mereka. Jadi, kejohanan seumpama ini sangat sesuai untuk mereka mempamerkan potensi dan bakat mereka seterusnya kita dapat melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti,” ujarnya.

Kejohanan edisi ke-10 itu menyaksikan empat kategori dipertandingan iaitu bawah 21, bawah 16, bawah 14 dan juga bawah 12 tahun.

Kejohanan ini juga turut mendapat sokongan daripada Majlis Sukan Negeri Johor, YOUNG-International, ShekhinahPR Sdn. Bhd, NS Sport dan Ibis Styles.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: