
PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zia Jia membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak sebagai pemain profesional.
Juara All England 2021 yang kini menduduki ranking ketujuh dunia telah menghantar surat peletakan jawatan kepada badan induk itu pada 11 Januari lalu.
Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan perkara berkenaan dan berkata timbalannya Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos diberi mandat untuk mengumumkan keputusan mesyuarat BAM pada Isnin lepas dalam satu sidang media yang akan diadakan Jumaat ini.
Jelas Mohamad Norza, beliau dan Setiausaha Agung BAM Kenny Goh yang juga pengerusi Kejurulatihan dan Latihan (C&T) mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemain berusia 23 tahun itu bagi memujuk untuk kekal bersama BAM namun Zii Jia tetap dengan pendiriannya.
“Selepas itulah kita membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis untuk mendengar masalah yang kita hadapi ini, kerana Zii Jia adalah aset utama kita, tentu sahaja tidak ingin melihat masa depannya disia-siakan.
“Jadi setelah mendengar semua pihak, Majlis telah berbincang dan mengeluarkan satu keputusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Beijing pada Rabu.
Tambah Mohamad Norza, pihaknya jelas kecewa dengan keputusan Zii Jia selepas menjaga dan membantu pembinaan karier berumur 13 tahun bagi merealisasikan hasratnya untuk menjadi seperti jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.
“Saya rasa beliau tidak ada masalah dari segi dalam BAM sendiri, kalau kita lihat Chong Wei, 19 tahun bersama BAM. Apabila sampai ke kemuncak prestasi pemain, BAM adalah tempat untuk teruskan karier untuk sampai nombor satu dunia atau legenda satu hari nanti. Tetapi mungkin beliau mempunyai keutamaan lain,” jelasnya.-Bernama





Add Comment