Sepak Takraw

STL: Kelantan Warriors tekad bangkit berdepan Bomba Fighters


Oleh: FARIZAL YUSOFF

SELEPAS rekod bersih dileburkan Negeri Sembilan Antlers, Kelantan Warriors tekad bangkit semula untuk mengatasi Bomba Fighters dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam ini.

Beranggapan pemainnya masih dalam proses menyesuaikan diri, Ketua jurulatih Warriors, Azhar Sarabini atau Cikgu Add, tidak pandang mudah pertemuan tersebut sebaliknya mahukan skuad Cik Siti Wan Kembang ini kekal fokus memburu kemenangan ketiga.

“Setiap pasukan memiliki kekuatan tersendiri. Biarpun sebagai pendatang baharu dalam Liga Perdana, tetapi kami tidak boleh ambil mudah.

“Bomba musim ini diwakili permain berpengalaman seperti bekas apit kanan Perak Bison, Fadzil Mustafa. Saya yakin dia akan diturunkan.

“Selain itu, jurulatih mereka, Mohd Zin juga cukup berpengalaman untuk mencatur strategi terbaik dan pasti aksi malam ini menarik untuk disaksikan,” katanya.

Mengulas prestasi pelibas, Fadzli Roslan dalam aksi menentang Antlers, Cikgu Add yakin bekas pemain kebangsaan itu mampu beraksi lebih baik selepas ini.

“Pali masih mencari rentak tetapi saya yakin dia mampu mengatasinya dengan pengalaman yang dimiliki,” ujarnya.

Kelantan Warriors dijangka kembali menurunkan trio Sobey-Naim-Aidil manakala Bomba Fighters terdesak untuk mencari kemenangan pertama.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: