EPL

Scholes persoal kedudukan Rangnick


BEKAS pemain tengah Manchester United, Paul Scholes terus mempersoalkan bagaimana Ralf Rangnick terus kekal selaku pengurus jika dilihat prestasi pasukan dibawah kendaliannya.

Rangnick terus diberikan tugas membimbing Manchester United walaupun  tidak menunjukkan perkembangan ketara di bawah arahannya.

Mereka telah bergelut untuk mengatasi Norwich City dengan sepakan penalti   dan tewas kepada Wolverhampton Wanderers.

Dalam Liga Perdana, United terperangkap di tangga ketujuh, kedudukan yang sama sejak ditinggalkan Ole Gunnar  Solskjaer.

Ini mencetuskan tanda tanya di kepala bekas pemain tengah, Paul Scholes berhubung keputusan kelab itu memilih Rangnick.

“Bagi saya, Manchester United harus mendapatkan pengurus terbaik yang ada di posisi paling penting. Jawatan paling penting ialah pengurus.

“Mereka memerlukan salah seorang pengurus terbaik di dunia, salah satu daripada lima pengurus terbaik di dunia, dan mereka tidak dapat memperolehnya,” katanya di saluran Youtube Webby & O’Neill, seperti dipetik Metro.

Rangnick dilantik oleh Manchester United sebagai pengurus sementara sejak November 2021 menggantikan Solskjaer dan  dijangka mengetuai pasukan sehingga sekurang-kurangnya akhir musim, sebelum pengurusan mendapat pengurus tetap.

Rangnick sendiri mempunyai nama besar dan dianggap sebagai bapa kepada Gegenpressing yang telah mempengaruhi beberapa pengurus tertinggi hari ini iaitu Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel.

 


Add Comment

Click here to post a comment