Lain-Lain

Bekas pemain ragbi KSAH kembali bergabung


Skuad ragbi KSAH yang berpangkalan di Alor Setar muncul antara kolej yang melahirkan ramai pemain ragbi kebangsaan suatu ketika dahulu.

Oleh: AMMAR HAZIQ

LEBIH kurang 100 bekas pemain ragbi Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar bakal berkumpul pada 22 Januari ini bagi menjayakan pertandingan ragbi persahabatan kolej berkenaan.

Jurulatih pasukan ragbi KSAH, Mohd Nizard Mohd Noor berkata, perlawanan itu dijangka berlangsung di Stadium Suka Menanti, Alor Setar bagi mengeratkan hubungan antara pelajar n bekas pelajar kolej tersebut.

Menurutnya, pertandingan ragbi persahabatan membabitkan bekas pemain ragbi KSAH adalah kali pertama dilakukan sejak kolej ditubuhkan 114 tahun lalu.

“Ramai pelajar KSAH hari ini tidak kenal bekas pemain ragbi kolej yang pernah cemerlang dan bermain untuk negara. Kehadiran wira-wira kolej satu ketika dahulu ini pastinya dapat menaikkan semangat para pemain pasukan ragbi KSAH yang ada sekarang,” katanya.

Mohd Nizard berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga adalah bekas pemain ragbi KSAH dan ada di kalangan generasi kolej terlepas pandang tentang sejarah tersebut.

Skuad ragbi KSAH pada tahun 1985. Foto: KSAH

Menurutnya, sehingga kini sudah lebih 60 bekas pelajar telah mengesahkan penyertaan dan masih lagi dibuka kepada bekas pemain ragbi KSAH yang berminat.

“Kami mengharapkan bekas pelajar 1970 an akan dapat bersama kita nanti selepas bekas pelajar bermula tahun 1980-an sudah mendaftar untuk menyertai pertandingan ini.

“Setiap pemain akan dibahagikan mengikut tahun kelahiran genap dan ganjil supaya ia lebih adil kepada setiap pasukan bertanding,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Nizard berkata, perlawanan persahabatan yang dianjurkan juga bertujuan untuk mengumpul dana sekitar RM40,000 secara berperingkat membantu pasukan ragbi kolej tersebut dan akan digunakan menaik taraf bangunan kuarters lama untuk dijadikan rumah kelab ragbi KSAH.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: