
KETUA Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad meluahkan kebimbangan mengenai pengurangan elaun latihan kepada atlet pada tahun ini sekaligus berisiko menjejaskan pencapaian negara di temasya dwitahunan berlangsung Mei ini.
Beliau menganggap tidak adil untuk melakukan pemotongan besar yang ‘menekan’ persatuan dan atlet, merayu supaya Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menilai balik penyelarasan elaun tersebut.
Menurut Nur Azmi yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), beberapa persatuan sukan kebangsaan telah pun menghubunginya untuk menyuarakan kebimbangan dan mengadu mengenai perkara berkenaan.
“Elaun dipotong dengan begitu banyak, bagi atlet sepenuh masa, mereka tiada pendapatan lain. Kita tidak mahu kehilangan ramai atlet yang mungkin berhenti atau bersara awal sebab rasa lebih baik fokus pelajaran dan kerjaya.
“Kita setuju elaun dipotong tetapi bukan terlalu banyak kerana atlet berkorban, kerah tenaga untuk menjulang nama negara. Kita cemburu dengan negara-negara lain yang berjaya menang emas Olimpik dan juarai kejohanan dunia, tetapi sendiri tidak jaga kebajikan sukan.
“Kalau atlet berada dalam keadaan tertekan, masih hantar ke kejohanan, mungkin tidak ada keputusan (yang dimahukan),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Persatuan Karate Malaysia (Makaf) di Wisma OCM pada Sabtu.
Pada Rabu, MSN mengumumkan penyelarasan semua elaun susulan keadaan semasa ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19, selain bencana alam melanda negara baru-baru ini.-Bernama
Add Comment