
TINDAKAN Romelu Lukaku berkongsi perasaan berada di Stamford Bridge dilihat seperti perumpamaan ‘kerana mulut badan binasa’.
Penyerang berusia 28 tahun itu mendakwa dia tidak gembira bersama Chelsea, malah menghantar mesej kepada bekas rakannya di Everton Tim Howard mengenai situasi tersebut.
Pemain antarabangsa Belgium itu mendakwa dia tidak gembira dengan posisinya dalam barisan utama skuad kendalian Thomas Tuchel.
Namun dia memberitahu tidak boleh bercakap banyak mengenai situasi di kelab kerana ‘terlalu panas’ buat masa ini dan segalanya akan diputuskan dalam mesyuarat yang akan diadakan hari ini.

Ketika ditemuramah Sky Sport Italia sebelum ini, Lukaku memberitahu: “Secara fizikal saya baik. Tetapi saya tidak gembira dengan situasi di Chelsea. Tuchel telah memilih untuk bermain dengan sistem lain.
“Saya tidak akan berputus asa. Saya profesional. Saya tidak gembira dengan situasi itu tetapi saya profesional – dan tidak akan berputus asa sekarang.”
Selain berkongsi mengenai tidak gembira dengan sistem yang digunakan Tuchel, Lukaku turut berkongsi kemungkinan satu hari nanti mahu kembali ke Inter Milan.
“Dengan ikhlas dari hati, saya berharap satu hari nanti akan kembali ke Inter, bukan di pengakhiran karier saya, tetapi ketika saya masih berada di tahap yang boleh memenangi lebih banyak trofi.”

Awal minggu ini, Howard yang bermain bersama Lukaku selama tiga tahun di Goodison Park memberitahu rakannya itu amat kecewa dan menjelaskan dia tidak berada dalam ‘karektor berbisa’.
Susulan daripada pendedahan berani Lukaku itu, dia diketepikan Tuchel ketika aksi bertemu Liverpool pada aksi seri 2-2 awal pagi ini.
Lukaku kembali bersama The Blues selepas musim 2011-2014 dan pernah menyarung jersi Everton, Manchester United dan Inter Milan (2019-2021).





Add Comment