
Oleh: AMMAR HAZIQ
KOMITMEN dan usaha keras yang ditunjukkan pertahanan tengah, Rodney Celvin Akwensivie pada musim 2021 bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC menyaksikan pemain tersebut diletakkan dalam pelan jangka masa panjang apabila diikat selama dua tahun oleh Hijau Kuning.
Pemain tersebut yang dipinjam selama satu musim pada tahun lalu dari Selangor FC menjadi tonggak utama pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak.
Prestasi cemerlangnya meyakinkan barisan kejurulatihan untuk mendapatkan khidmatnya secara tetap dan Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali bersama pasukan pengurusan telah mengadakan rundingan dengan Selangor FC bagi mendapat pelepasan secara penebusan kontrak Rodney Celvin.
Bagaimanapun penebusan baki kontrak selama setahun itu tidak mahu didedahkan Khamal Idris semasa dihubungi pada Isnin.
“Pemain ini telah diikat selama dua tahun oleh KDA FC kerana berada dalam perancangan jangka masa panjang selaras dengan penstrukturan semula pasukan bagi musim 2022,” ujarnya.

Pemain berusia 26 tahun ini menjadi pemain tempatan terakhir yang diumumkan oleh kelab tersebut manakala tiga lagi pemain import baharu akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini.
Rodney merupakan produk pasukan Belia Sarawak pada musim 2013, seterusnya mendaki status di pasukan Piala Presiden dan mendapat kepercayaan Datuk K Rajagopal sehingga disenaraikan dalam skuad utama Sarawak pada musim 2016.
Kelibat Rodney mula mendapat perhatian di peringkat kebangsaan dan mula mencuri perhatian kelab PKNS FC , tahun berikutnya bersama Selangor FC sejak 2020 sebelum dipinjamkan kepada pasukan KDA FC musim lepas.
Walaupun mengalami kecederaan tulang bahu di penghujung saingan Liga Super 2021, prestasinya sepanjang musim mendapat pujian melalui gandingan mantap bersama Renan Alves di bahagian pertahanan tengah pasukan KDA FC.
Semangat tinggi dan disiplin untuk kembali beraksi dalam masa singkat pemulihan memberi petanda semangat pantang kalah Rodney yang menerima reaksi positif oleh rakan sepasukan dan peminat skuad Hijau Kuning.






Add Comment