Badminton

Purple League Pro-Am: Dania Sofea bawa Bandar Maharani julang trofi juara 2021


Bandar Maharani BC meneriam hadiah RM8,000 selaku juara Top Glove Purple League Pro-Am 2021.

BANDAR Maharani BC (BMBC) berada di kelas tersendiri selepas merangkul gelaran juara Top Glove Purple League Pro-Am 2021 (TGPLPA 2021) selepas mudah mengenepikan cabaran Butterworth BC (BWBC) 9-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya pada Ahad.

Biarpun bukan dilabel sebagai pasukan pilihan, BMBC bermula dengan garang menerusi pasangan beregu campuran Zachary Sia-Yap Yee yang menundukkan lawan mereka Tan Yi Han- Goh Jin Wei, 3-1 (10-11, 11-7, 11-7, 11-7).

BMBC tidak berdepan masalah pada pertarungan kedua apabila perseorangan lelaki, Tai Chuan Zhe beraksi cemerlang dengan mudah menewaskan seterunya Samuel Lee 3-0 (11-7, 11-10, 11-7).

Kemenangan BMBC dimuktamadkan oleh bintang muda perseorangan wanita mereka Dania Sofea Zaidi yang mengejutkan lawannya Isabel Liau, 3-1 (11-8, 11-6, 11-10) sekaligus memastikan Bandar Maharani BC membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000.

Mengulas kemenangan bermakna BMBC, pengurus pasukan, Eric Chan berkata, “Saya amat berbangga dengan pasukan. Persiapan kami amat mencabar kerana tidak dapat mengumpulkan kesemua pemain. Tetapi kami dapat mengatasi segala rintangan untuk beraksi sebaik mungkin untuk muncul juara.

“Saya juga gembira melihat Dania Sofea yang banyak menyumbang mata buat pasukan biar pun dia merupakan pemain paling muda di dalam pasukan. Beliau sangat berbakat dan tenang di atas gelanggang.”

Sofea yang berusia 15 tahun pernah mencipta sensasi apabila merangkul takhta AEON Credit Purple League Junior pada Mac, gembira dapat menyumbang mata kemenangan buat BMBC.

Menurutnya Sofea, dia berterima kasih kepada pasukan kerana memberi kepercayaan untuk beraksi buat pasukannya itu.

“Kemenangan pada petang ini menyuntik semangat saya untuk terus bekerja keras bagi mengekalkan prestasi. Saya juga bercita-cita untuk mewakili negara satu hari nanti.”


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading