Badminton

Purple League Pro-Am: Empat pasukan jadi tumpuan penuh ‘hangat’


Persembahan garang dari Samuel Lee bagi memastikan Butterworth BC mara ke separuh akhir esok.

KEJOHANAN Badminton Top Glove Purple League Pro-Am 2021 (TGPLPA 2021) semakin hangat apabila empat pasukan iaitu Serdang BC, Ampang Jaya BC, Butterworth BC dan Bandar Maharani BC akan membuat perhitungan di peringkat separuh akhir pada Sabtu.

Butterworth BC dan Ampang Jaya BC menepati ramalan untuk layak ke peringkat kalah mati sebagai pasukan pilihan dan dilihat sebagai kuasa besar dalam kelompok empat pasukan terbaik ini apabila gah menjuarai kumpulan masing-masing dengan kutipan mata yang tinggi.

Terdahulu, perlawanan terakhir kumpulan A menyaksikan pilihan utama kejohanan Butterworth BC menerima tamparan apabila tewas 10-12 di tangan Seremban City BC namun bernasib baik dengan kelebihan mata yang dikumpul sekaligus membolehkan mereka menafikan kemaraan Seremban ke separuh akhir.

Keputusan itu sekaligus menjadikan Butterworth muncul naib juara kumpulan A dan akan membuat perhitungan dengan juara kumpulan B, Ampang Jaya BC yang merupakan pilihan kedua kejohanan pada Sabtu bagi merebut tiket ke pentas akhir.

Gandingan beregu campuran Butterworth BC, Tan Yi Han-Goh Jin Wei bermula dengan langkah kiri buat pasukan mereka apabila tewas 2-3 (5-11, 11-7, 11-6, 10-11, 10-11) di tangan Tan Kok Xian-Gan Jing Err.

Namun, persembahan garang dari Samuel Lee memastikan Butterworth mengikat kedudukan 5-5 selepas berjaya mengheret lawannya Faiz Rozain ke set penentuan sekaligus menang 3-2 (11-7, 7-11, 11-7, 5-11, 11-10).

Menyedari peluang semakin tipis, Seremban City BC kembali mendahului menerusi kemenangan 3-1 (8-11, 11-2, 11-3, 11-5) oleh perseorangan wanita mereka N.Saranya ke atas Lim Jing Ning disusuli beregu lelaki Mohd Faris Zai’m- Muhd Amar yang menewaskan gandingan Chee Yik Shen-Tee Zi Yi juga dengan keputusan 3-1 (11-8, 6-11, 11-8, 11-9).

Percaturan Butterworth BC menggandingkan Goh Jin Wei bersama Teoh Lexuan bagi beregu wanita membuahkan hasil apabila berjaya meraih kemenangan 3-1 (6-11, 11-4, 11-9, 11-10) ke atas Desiree Siow-Ng Wan Win sekali gus merapatkan jurang 10-12 di belakang Seremban City BC dan membolehkan mereka bergelar naib juara kumpulan A.

Pasangan beregu Ampang Jaya Yi Sheng0Yi Bo merai kemenangan ke separuh akhir. 

Menurut perseorangan lelaki Butterworth BC Samuel Lee, dia yang baharu pulang dari Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2021 berpuas hati dengan persembahannya petang tadi.

“Saya gembira dapat menyumbang mata buat pasukan. Saya sedar pertandingan ini sangat kompetitif dan saya perlu berwaspada dengan lawan yang akan saya hadapi esok,” katanya.

Dalam aksi kumpulan B pula, Ampang Jaya BC berjaya menafikan kemaraan Rawang BC dengan kemenangan 12-6. Mereka akan diiringi oleh Bandar Maharani BC yang muncul selaku naib juara kumpulan setelah melengkapkan empat perlawanan pada pada Khamis.

Kejohanan Top Glove Purple League Pro-Am 2021 yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 kepada juara dan akan melabuhkan tirainya pada 26 Disember nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: