
AKSI jaguh perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia untuk memburu gelaran juara pada Kejohanan Badminton Dunia terhenti selepas dia terpaksa menarik diri dalam set ketiga perlawanan suku akhir menentang Anders Antonsen di Huelva, Sepanyol.
Pada aksi lewat Jumaat malam itu, Zii Jia yang merupakan pemain pilihan keenam mempamerkan aksi kelas tersendiri dan menundukkan pemain nombor tiga dari Denmark 21-12 dalam set pertama tetapi lepuh pada kaki kanannya menjejaskan rentak permainan di pertengahan set kedua dan tewas 8-21.
Biarpun cuba meneruskan aksinya, Zii Jia tidak mampu lagi untuk menahan kesakitan apabila dia terpaksa menarik diri pada set terakhir yang menyaksikan Antonsen mendahuluinya dengan selesa, 11-1.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi juga buat satu lagi beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Keong apabila tewas mudah kepada pasangan dari China He Jiting -Tan Qiang dalam tempoh 40 minit, dengan keputusan 20-22, 14-21.
Ia menyaksikan cabaran negara kini hanya satu wakil tunggal yang akan beraksi dalam saingan separuh akhir iaitu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi Yew selepas menewaskan beregu dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin 12-21, 21-17, 21-15 dalam tempoh 1 jam 05 minit.
Kemenangan ini penuh bermakna buat pasangan negara ini dengan menewaskan juara Olimpik, Tokyo dan lebih manis mereka merupakan pasangan beregu lelaki pertama mara ke separuh akhir selepas 2010 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.






Add Comment