Bola Sepak

‘Sebelah kaki’ Syafiq Ahmad sudah berada di Kedah


Syafiq kurang minit permainan ketika bersama JDT. Foto: JDT

Oleh: AMMAR HAZIQ

HANYA persetujuan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja yang kini sedang dinanti untuk melihat kelibat penyerangnya, Syafiq Ahmad akan kembali bersama Hijau Kuning pada saingan Liga Malaysia dan Piala Malaysia 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khamal Idris Ali berkata, pasukan tersebut berminat untuk mendapatkan sentuhan penyerang kebangsaan tersebut selepas JDT mengesahkan pemain itu antara yang akan dipinjamkan ke pasukan lain pada musim hadapan.

Hijau Kuning berpeluang untuk kembali bergabung dengan Syafiq kerana pemain itu akan dipinjamkan kepada pasukan yang akan beraksi di pentas Piala AFC 2022 dan KDA FC dan Kuala Lumpur City FC antara yang menjadi pasukan pilihan.

“Kata putus kini terletak pada pengurusan JDT sama ada Syafiq dibenarkan untuk dipinjamkan ke KDA FC pada musim hadapan. Syafiq sudah menyatakan untuk beraksi bersama kami pada tahun 2022 dan kami juga berminat untuk mendapatkannya,” katanya.

Sebelum ini Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan beberapa pemain pasukan tersebut bakal dipinjamkan kepada kelab lain pada musim 2022.

Syafiq kini bersama pasukan Harimau Malaya menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020. Foto: FAM

Antara pemain yang terlibat adalah Syafiq bagi memberikan ruang kepada penyerang kebangsaan tersebut mendapatkan minit permainan yang lebih banyak pada musim hadapan.

Perkembangan itu turut disahkan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui satu ciapan di laman twitter rasminya yang menyifakan Kedah mahupun Kuala Lumpur yang akan menjadi destinasi pemain tersebut.

Pada musim ini, Syafiq jarang diturunkan beraksi bersama Harimau Selatan dalam kesebelasan utama namun masih mendapat kepercayaan pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk membarisi jentera serangan kebangsaan.

Syafiq yang kini bersama skuad kebangsaan pada kempen Piala AFF Suzuki 2020 sedang berusaha membantu Harimau Malaya untuk mencapai sasaran mara sekurang-kurangnya ke pentas final pada edisi kali ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: