Bola Sepak

Liga Malaysia 2022 : Azzizan buka rahsia keputusan sertai Penang FC


Azzizan kini sah menyertai Harimau Kumbang menghadapi saingan Liga Malaysia 2022.

BEKAS tengah Sabah FC, Azzizan Nordin mendedahkan Harimau Kumbang sudah lama memburu untuk mendapatkan khidmatnya sejak 2019 sebelum membuat keputusan menyertainya pada musim depan.

Melihatkan situasi itu, Azzizan membuat keputusan untuk menyertai Penang FC yang dianggap sebagai cabaran baharu selepas sekian lama bersama negeri kelahirannya, Sabah.

“ Sebenarnya Penang sudah dua musim lepas mahu saya bersama mereka namun saya belum bersedia untuk meninggalkan Sabah pada saat itu.

“ Namun, minat mereka tidak pernah padam dan pada musim ini mereka sekali lagi menghubungi saya, kali ini saya tergerak hati untuk menerima tawaran mereka.

“ Saya berminat melihat perancangan Penang pada musim depan dan harap mampu segera menyesuaikan diri dengan pasukan serta cuba meraih tempat dalam kesebelasan utama, ” katanya.

Berhijrah buat pertama kali dari luar Sabah selepas enam musim menabur bakti bersama pasukan negeri kelahiran, sememangnya bukan satu keputusan yang mudah buat pemain tengah, Azzizan Nordin.

Namun demi mahu mencabar diri sendiri serta mahu keluar dari zon selesa, pemain berusia 27 tahun dari Bogawan itu membuat keputusan menerima tawaran yang diberikan Penang FC.

Bakal bersama seorang lagi rakan sepasukan dari Sabah, Hamran Peter, dia berharap musim 2022 akan menjadi satu lagi detik terbaik dalam kariernya apabila bersama Penang FC.

Azzizan yang bersama Sabah sejak 2016 sebelum itu merupakan pemain skuad Harimau Muda yang turut pernah bermain di Liga Singapura selama beberapa musim.

Dia pernah dianggap antara pemain terbaik di posisi nombor enam dalam saingan Liga Malaysia selepas berjaya membantu Sabah ke Liga Super apabila menjuarai Liga Premier pada musim 2019.

Aksinya yang cemerlang bersama Sabah pernah memikat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, untuk dipanggil bersama pasukan pada tahun 2018 bagi aksi dua perlawanan persahabatan bertemu Chinese Taipei dan Kemboja.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: