Bola Sepak

Piala AFF Suzuki 2020: Persiapan singkat bukan halangan pamer aksi menyakinkan


Faisal yakin dia dan rakan sepasukan akan memberikan aksi berkualiti memastikan kejayaan Harimau Malaya.

HARIMAU Malaya akan tampil lebih menyakinkan dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 yang bakal berlangsung di Singapura bermuda 6 Disember nanti.

Pemain sayap Terengganu FC, Faisal Abdul Halim yang menyertai latihan kem kebangsaan yakin kekangan termasuk sesi latihan terlalu singkat dengan barisan pemain keletihan berikutan jadual liga dan Piala Malaysia padat namun semua itu bukan halangan untuk mereka memberikan aksi berkualiti buat negara.

Tegasnya, dia akan memberikan persembahan terbaik untuk skuad kebangsaan termasuk bersedia mengikuti setiap perancangan yang bakal diterapkan oleh barisan kejurulatihan.

“Sasaran mara ke peringkat akhir kejohanan terbabit tidak akan memberi tekanan kepada barisan pemain malah mereka lebih bersemangat untuk mencapainya dengan tekad menumbangkan satu persatu lawan kelak.

“Saya sudah bersedia sekiranya diberi peluang membarisi kesebelasan utama dan percaya barisan kejurulatihan akan buat terbaik bagi mengharungi kejohanan itu. Semua sedia maklum, persediaan kali ini cukup singkat sekali gus sukar kepada pasukan untuk membuat persediaan awal.

“Apa yang pasti adalah semua pihak termasuk penyokong mahu lihat skuad kebangsaan pergi jauh sekali gus mengharapkan rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik kelak,” katanya, pada sesi pertama kem latihan pusat Fasa 2 skuad Harimau Malaya di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kejuaraan Piala AFF dijadual berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari 2022 dengan Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Malaysia yang menyasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: