Bola Sepak

Masa depan Mora bersama JDT terancam ?


Oleh : SUBKHI SUDARJI

BENJAMIN Mora tidak menolak kemungkinan akan kehilangan jawatannya selaku pengendali skuad Harimau Selatan selepas tewas kepada Kuala Lumpur City (KL City) FC 0-2 pada aksi final Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Namun jurulatih berusia 42 tahun itu memaklumkan keputusan mengenai masa depannya bersama skuad Harimau Selatan itu adalah di luar kawalannya.

“Mungkin (kehilangan pekerjaan), tetapi saya bukan orang yang buat keputusan itu. Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pengurusan dan pemain.

“Saya sentiasa cuba untuk menang, saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan bekerja keras untuk JDT.

“Jika pihak pengurusan atau TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) berpendapat itulah penyelesaiannya, mereka akan maklumkan kepada saya, tetapi buat masa ini kami dalam keadaan sukar, kami okey, kami baik dan selepas ini kami akan mengkaji semula keadaan bila tiba masanya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Jurulatih dari Mexico itu yang pernah membawa Harimau Selatan memenangi beberapa kejuaraan termasuk Piala Malaysia 2019, sejak mengendalikan JDT buat kali kedua pada 2018.

 


Add Comment

Click here to post a comment