Bola Sepak

MUFC – Apek masih berunding


Apek dikhabarkan bakal bergabung dengan Sabah FC yang kini sedang giat mempersiapkan pasukan musim 2022.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

STATUS penjaga gawang Melaka United FC (MUFC), Khairul Fahmi Che Mat bersama pasukan bagi mengharungi musim hadapan masih samar memandangkan belum ada kata putus perjanjian baharu dipersetujui.

Pemilik MUFC, Datuk Seri Justin Lim berkata, ketika ini rundingan bagi memuktamadkan kedudukan penjaga gawang Harimau Malaya itu masih diadakan dan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kami dimaklumkan ada beberapa pasukan yang merisik dan berhasrat untuk mendapatkannya memperkuatkan pasukan musim depan, pada masa sama kita juga telah berunding dengan Khairul Fahmi namun masih belum mendapat kata putus,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang turut dikenali Apek ini menyertai Melaka United pada 2018 selepas berhijrah dari Kelantan dan merupakan penjaga gawang berpengalaman diperingkat tempatan dan juga skuad kebangsaan.

Difahamkan tawaran lebih menarik yang ditawarkan bakal majikan baharu menyebabkan tiada keputusan dicapai antara kedua-dua pihak sehingga kini selain MUFC telah menetapkan tanga gaji yang sewajarnya.

Apek kini sedang menjalani kem Latihan Fasa 2 Harimau Malaya menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki 2020.

Musim 2021 dianggap detik cemerlang buat MUFC terutamanya da?am saingan Pia?a Malaysia selepas berjaya melangkah ke pentas separuh akhir selepas kecundang di tangan KL City FC, 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti.

Terdahulu, Justin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MUFC telah mengumumkan tiga tonggak importnya, Sony Norde, Manuel Ott dan Adriano Narcizo akan terus bersama pasukan mengharungi musim 2022.

Namun nasib pertahanan import dari Korea Selatan, Jang Suk-Won masih lagi samar manakala khidmat penyerang dari Brazil, Giovane Gomes sah tidak disambung.


Add Comment

Click here to post a comment