Bola Sepak

Baddrol rasmi bersama Sabah FC, Rizal juga tinggalkan KDA FC


Baddrol disahkan bersama Sabah FC, manakala Rizal (kanan) juga buat keputusan tinggalkan KDA FC. FOTO: KDA FC

Oleh: AMMAR HAZIQ

KELAB Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Rabu mengesahkan ketua pasukannya, Baddrol Bakhtiar mengambil keputusan untuk tidak bersama pasukan tersebut selepas 16 tahun menabur bakti bersama Hijau Kuning.

Pasukan tersebut merakamkan ucapan penghargaan dan menerima keputusan pemain dengan hati terbuka selepas Baddrol memilih untuk membawa haluan berbeza pada musim 2022.

“Jasa beliau cukup besar selepas mengharungi perit jerih, jatuh bangun dan seterusnya berjaya mencipta nama antara pemain yang merekodkan penjaring gol tempatan paling tinggi.

“Baddrol antara pemain yang setia dan paling lama bersama sebuah pasukan selain telah memenangi semua kejuaraan domestik di Malaysia.

“Jasa untuk dikenang, dan Baddrol akan kekal selamanya antara cerita legenda bolasepak di negeri jelapang padi,” katanya melalui Facebook rasminya pada Rabu.

Sementara itu, Facebook Rasmi Sabah FC turut mengumumkan kehadiran legenda Hijau Kuning itu yang sah akan memperkuatkan skuad Datuk Ong Kim Swee tersebut.

 

Dalam pada itu, KDA FC juga mengesahkan pertahanan kental mereka, Mohd Rizal Ghazali juga membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama pasukan tersebut pada musim hadapan walaupun barisan kejurulatihan masih memerlukan khidmatnya.

“Rizal antara pemain utama kental beraksi dibahagian pertahanan kanan dan sentiasa mendapat panggilan skuad kebangsaan. Sumbangan tenaga beliau sepanjang perlawanan tidak perlu dipertikaikan lagi, antara pemain urat besi dan tidak mudah ditewaskan.

“Apapun keputusan beliau, KDA FC akan terus menyokong kerjaya bolasepak mereka bersama pasukan baharu,” tulisnya.

Selain itu, Rodney Celvin Akwensive yang mencuri perhatian selepas bergandingan baik bersama ‘kereta kebal’ Renan Alves pada musim 2021 di barisan pertahanan tengah KDA FC akan pulang ke pangkuan Selangor FC selepas tamat kontrak pinjaman.

“Hanya masa yang akan menentukan sama ada jodohnya bersama pasukan sekiranya masih ada. Bukan lagi rahsia Rodney antara pemain yang berada dalam perancangan barisan kejurulatihan musim hadapan.

“Empat lagi pemain musim lepas yang tidak akan bersama KDA FC musim hadapan adalah Mohd Fairuz Zakaria, Muhammad Faizat Ghazli, Fandi Othman dan Tam Sheang Tsung.

“Dimana sahaja anda berada, ingatlah semangat hijau kuning adalah semangat keramat. Terima kasih atas segalanya! Anda adalah sejarah pasukan hijau kuning,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: