Hoki

Piala Dunia Hoki Remaja: Skuad negara buka tirai bertemu Chile


Pasukan hoki remaja negara bakal membuka aksi pertama malam ini. Foto: MHC

MALAYSIA pastinya bermotivasi tinggi untuk memburu kemenangan pertama pada aksi pembuka tirai Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) 2021 menentang Chile dalam saingan Kumpulan A di Stadium Kalinga di Bhubaneswar, India malam ini.

Aksi pertama itu amat penting buat skuad projek khas lelaki kebangsaan kendalian Wallace Tan dalam misi mencapai sasaran mara ke peringkat suku akhir.

Walaupun para pemain bersemangat tinggi, namun mereka tidak boleh memandang rendah kemampuan Chile memandangkan kedua-dua pasukan belum pernah bertemu sesama sendiri sebelum ini.

Ia tentunya menyukarkan perancangan barisan kejurulatihan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan dari benua Amerika Selatan itu.

Apa yang pasti, Chile seharusnya perlu diberi perhatian serius selepas kejayaan mereka mencipta kejutan dengan melakar sejarah menjuarai Kejohanan Hoki Remaja Pan-Amerika 2021 menewaskan juara 11 kali berturut-turut, Argentina.

Namun, Malaysia tetap dilihat berkelebihan kerana Chile hadir ke JWC 2021 tanpa kelibat penjaring terbanyak kejohanan itu, Andres Pizarro dan penjaga gol terbaik kejohanan, Agustin Araya.

Kapten pasukan, Akhimullah Anuar Esook tentunya menjadi sandaran Malaysia untuk merobek gawang Chile berdasarkan pengalamannya bersama skuad senior kebangsaan selain statusnya sebagai penjaring terbanyak Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018.

Sebahagian pemain hoki remaja negara sebelum berlepas ke India 16 November lalu.

Menariknya, selain Akhimullah, sembilan lagi pemain negara yang ketika itu meraih pingat emas YOG 2018 turut dibawa ke JWC 2021 sekali gus mampu menjadi harapan Malaysia meskipun persediaan terbatas disebabkan pandemik Covid-19.

Disebabkan itu, siri Jelajah United Kingdom yang diatur Konfederasi Hoki Malaysia sebulan lalu adalah langkah tepat untuk menerapkan mentaliti kemenangan dalam diri setiap pemain bagi memastikan Malaysia bersedia seampuhnya.

Kemenangan ke atas Chile malam ini bakal menjadi rangsangan terbaik sebelum turun bertemu naib juara JWC 2016, Belgium pada 26 November sebelum melengkapkan aksi terakhir Kumpulan A menentang Afrika Selatan pada 27 November.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: