Bola Sepak

Semuanya sebab TMJ!


Justin Lim

Oleh: SURYATI MOHD NOR

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United FC Datuk Seri Justin Lim mendedahkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim punca beliau terus berada dalam pengurusan bola sepak tanah air.

Berkongsi secara eksklusif kepada CAKAP SUKAN, Justin memberitahu pengalaman baharu dalam pengurusan bola sepak membuatkannya berdepan dengan pelbagai momen termasuk pahit, manis, marah, dan sebagainya.

“Saya ada berjumpa dengan Tunku Ismail berbincang mengenai bola sepak. Banyak nasihat yang disampaikan oleh beliau. Paling saya ingat adalah pesanannya bahawa bilik persalinan memainkan peranan yang penting. Di situ kami perlu mengawal segalanya.

“Kami mengambil nasihat itu dan ianya betul. Apa yang dikongsi TMJ banyak memberi kesan kepada saya untuk meneruskan perjalanan ini.

“Bagi saya, beliau telah melaksanakan tugas yang sangat baik untuk industri bola sepak. Beliau sebenarnya seorang yang menarik. Ya, memang benar beliau seorang yang lantang bersuara. Tetapi beliau selalu berkata benar.

“Memang betul kebenaran itu menyakitkan. Tetapi ia benar,” jelasnya kepada Cakap Sukan.

Justin yang juga merupakan ahli perniagaan terkenal dalam bidang pengeluaran sarung tangan memberitahu, Tunku Ismail tidak lokek untuk berkongsi idea dalam menguruskan kelab bola sepak.

“Saya sangat menghormatinya kerana mempunyai prinsip sendiri, yang sentiasa berjuang dan bersuara terutamanya untuk industri bola sepak.

“Ia menjadikan motivasi kepada saya untuk teruskan perjalanan ini. Pengalaman bertemu dengannya antara momen yang saya tidak boleh lupakan,” tambahnya.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Dalam pada itu, Justin memberitahu beliau mempunyai visi tersendiri untuk melihat Melaka United lebih berjaya satu hari nanti.

“Sudah tentu banyak perancangan yang akan dibuat. Saya mahu melihat Melaka United berada dalam Top 3 dalam musim akan datang. Mahu melihat kelab ini berjaya seperti JDT, mungkin tidak boleh menjadi kelab besar seperti mereka… tetapi sekurang-kurang hampir seperti JDT pun sudah cukup.”


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading