Badminton Rencana

Misi 2 tahun di Eropah bertukar menjadi 2 dekad


Fredyno (belakang,lima kiri) bersama rakan sepasukan ketika di Jerman.

RASA kecewa apabila sekadar menjadi ‘barang hiasan’ daripada dihantar beraksi di kejohanan-kejohanan badminton, membuatkan Fredyno Saha bersama abangnya Eddeeza nekad ke Jerman untuk bermain di sana.

Siapa sangka keputusan pada 1998 itu mengubah terus haluan kedua-dua beradik itu selepas ‘angkat kaki’ daripada sebuah kelab bersama seorang lagi abangnya Davincy dan adik perempuannya, Geevien.

Fredyno dan Eddeeza mulanya ke Jerman untuk bermain di liga negara itu bersama kelab Neusatz-Bad Herrenalb di Karlsruhe, Baden Wurttemberg, namun selepas dua tahun merasakan tiada peningkatan berikutan ketiadaan rakan sparring berkualiti.

“Kami kemudian memutuskan untuk berubah angin dan menjadi jurulatih di sana, satu keputusan yang jelas berbeza dengan keputusan awal sewaktu mahu ke Jerman dulu,” kata Fredyno yang kini berusia 46 tahun.

Siapa sangka keputusan itu menyaksikan Fredyno menghabiskan masa lapan tahun lagi di Jerman sebelum berhijrah pula ke Itali selama 11 tahun.

Menurut Fredyno, selepas adik beradiknya keluar daripada skuad negara naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1996, mereka dilamar oleh sebuah kelab yang berpengkalan di utara tanah air.

Namun, katanya, peluang dihantar beraksi di luar negara amat terhad dan mereka berempat lebih banyak terbabit dengan aktiviti sosial kelab itu, menyebabkan mereka sepakat untuk keluar daripada kelab tersebut.

“Begitupun hanya saya dan Eddeeza meneruskan minat bermain selepas Davincy memutuskan untuk bekerja manakala Geevien pula mahu menyambung pengajiannya,” kata Fredyno.

Antara pemain yang pernah dilatih Fredyno sepanjang tempohnya di Jerman adalah bekas pemain nombor satu Jerman, Fabian Roth yang pernah mengejutkan juara Olimpik, Viktor Axelsen di Kejohanan Berpasukan Campuran Eropah pada 2017.

“Saya melatih Fabian ketika dia baru berusia enam tahun. Saya bangga melihat dia turut beraksi di pusingan akhir Piala Thomas baru-baru ini selepas pulih daripada kecederaan yang menjejaskan peningkatannya,” katanya.

Selepas menghabiskan 10 tahun di Jerman, Fredyno kemudian menerima tawaran melatih sebuah pasukan negeri, Alto Adige di Itali di mana dia memegang tugas itu selama tiga tahun sebelum kembali memilih melatih sebuah kelab, Merano SC, di negara yang sama.


Menurut Fredyno yang fasih berbahasa Jerman, dia memilih Alto Adige kerana wilayah yang terletak di utara Itali ini lebih banyak menggunakan bahasa Jerman dalam pertuturan harian, sekali gus tidak perlu belajar bahasa baru.

Fredyno kekal di Merano SC sehingga 31 Disember 2017, sebelum akhirnya memutuskan kembali ke tanah air dan menubuhkan Kelab Badminton Fredy Saha (FSBC) untuk melatih pemain muda di dewan yang terletak di Dataran Datuk Mohd Said (DMS) di Rinching, Semenyih.

”Pemain-pemain di kelab saya sekarang terdiri daripada mereka yang berusia 6 hingga 15 tahun yang terdiri daripada mereka yang datang dri Semenyih, Beranang, Bangi dan Kajang. Ketika ini terdapat 70 pemain remaja dan kanak-kanak di bawah kendalian saya,” katanya.


Mengenai pengalamannya di Jerman, Fredyno menjelaskan pemain-pemain di Eropah banyak didedahkan dengan kejohanan-kejohanan yang diadakan oleh kelab-kelab hampir setiap minggu.

Ini, menurutnya, belum termasuk empat kejohanan setahun di peringkat daerah dan tiga lagi kejohanan setahun di peringkat zon negara itu.

”Selain itu, pemain juga berpeluang bermain lebih daripada satu perlawanan dalam setiap kejohanan kerana peringkat awal biasanya diadakan secara kumpulan. Jika ada kejohanan kalah mati, mereka yang tewas pula akan menentang pemain lain yang tewas dalam ’loser pool’.

”Jadi, pemain-pemain dapat menimba pengalaman bermain dalam pertandingan, bukannya pulang selepas kalah awal,” katanya.

Menurut Fredyno, pemain-pemain kelab juga berpeluang untuk mencuba nasib merebut tempat dalam pasukan kebangsaan menerusi sesi pemilihan terbuka dan ini memberi motivasi tambahan kepada mereka menunjukkan bakat sebenar.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: