Lain-Lain

“Isu Ziyad pengajaran berharga” – Presiden MPM


Muhamad Ziyad Zolkefli

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menerima maklum keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman berkenaan insiden Muhammad Ziyad Zolkefli semasa Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang telah menimbulkan ketegangan, pertanyaan dan kekecewaan rakyat seluruh negara.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin memberitahu, hasil siasatan ini akan dapat menjelaskan kemusykilan ini di mana semua pihak harus memahami bahawa dalam sesuatu kejohanan sebesar Paralimpik.

“Kita tertakluk sepenuhnya kepada peraturan dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak penganjur baik dari segi kelayakan, kuota penyertaan, peraturan kawalan kesihatan, pendaftaran, peraturan bertanding dan sebagainya.

“Hasil siasatan Jawatankuasa ini amat penting kerana ianya melibatkan masa depan atlet serta staf bantuan yang telah membantu Ziyad untuk muncul sebagai jaguh terunggul dalam dunia bagi acara lontar peluru selama ini.

“Ziyad mungkin kehilangan suatu pencapaian yang bersejarah di kaca mata pegawai teknikal tetapi hakikat sebenarnya di kaca mata umum adalah beliaulah juara sebenarnya apatah lagi dengan rekod dunia yang dipecahkannya.

“Persaingan sengit beliau dengan pemenang pingat emas dari Ukraine sudah tentu detik pertandingan yang akan diingati walaupun terpaksa menyerahkan kejayaan tersebut kepada atlet lain,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Megat D Shahriman Zaharudin

Dalam pada itu, beliau mengakui insiden malang ini tidak sepatutnya berlaku.

“Namun ia memberi peluang sebagai pengajaran berharga yang akan menjadi titik perubahan kepada semua pentadbir sukan, jurulatih dan terutamanya atlet untuk mematuhi protokol ketat yang dilaksanakan bagi menjayakan pengurusan mana-mana acara sukan.

“MPM akan mengambil tindakan proaktif bagi tentukan semua warga yang terlibat dalam acara sukan, terutama dalam acara antarabangsa, cukup fasih dengan segala peraturan pertandingan.

“Kami berharap rakyat jelata dapat menerima keputusan tersebut dan menanti masa depan yang lebih baik untuk semua. MPM juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kami kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah berusaha untuk cari punca dan ambil iktibar daripada kejadian ini,” tambahnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading