Oleh: SUBKI SUDARJI/ Foto: AHMAD KHAIRUL AKMA
MALAYSIA menyasarkan melepasi untuk peringkat kumpulan dalam kejohanan hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 di Bhubaneswar, India pada 24 November hingga 5 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata pihaknya meletakkan sasaran itu apabila pasukan berdepan kekangan Covid -19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas yang dilihat menjejaskan persiapan pemain menjelang kejohanan di India itu.
“Sasaran kita lepas peringkat kumpulan dahulu malah saya berpesan kepada pemain kita ada tangga yang perlu didaki di India, lepasi halangan satu demi satu,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Namun, Ahmad Najmi yakin skuad bimbingan Wallace Tan itu mampu menjelmakan prestasi terbaik di India susulan persembahan memberangsangkan ditampilkan dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021, baru-baru ini.

Daripada keseluruhan lapan perlawanan di United Kingdom, Malaysia mencatat dua kemenangan, satu seri dan lima kekalahan dalam siri jelajah bermula 3 Okt hingga 15 Okt itu.
Dalam pada itu, Ahmad Najmi memaklumkan skuad kebangsaan yang dijangka berlepas ke India pada 16 Nov ini dijangka berdepan sekurang-kurangnya tiga aksi pemanas badan sebelum kancah saingan Piala Dunia Remaja bermula.
Katanya, terdapat lima pasukan termasuk jaguh dunia yang menyatakan minat untuk berdepan Malaysia dalam aksi pemanas badan itu iaitu Jerman, Belgium, Belanda, Sepanyol dan Perancis.
Dalam Piala Dunia Remaja Lelaki kali ini, laluan sukar menanti Malaysia apabila mereka yang diletakkan dalam Kumpulan A bakal membuka tirai perlawanan berdepan Chile pada 24 Nov diikuti pertembungan dengan naib juara 2016, Belgium pada 26 Nov, dan menamatkan saingan kumpulan dengan Afrika Selatan sehari kemudian.
Add Comment