Komentar Lain-Lain

Wujudkan Jawatankuasa Integriti Wanita bagi tangani isu gangguan seksual


Oleh MOHD FARIQ

BARU-baru ini kecoh di garis masa media sosial berkaitan isu gangguan seksual yang dilaporkan telah lama berlaku dalam industri sukan khususnya melibatkan atlet wanita.

Semalam, CAKAPSUKAN mendedahkan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong turut berkongsi pengalaman berdepan dengan situasi lawak lucah yang selalu dibuat oleh bekas jurulatih negara.

Pandelela telah berkongsi pengalaman berdepan dengan lawak lucah tetapi hakikat lebih buruk ada dilaporkan atlet terjun dirogol oleh jurulatihnya sendiri pada tahun 2017.

Pelbagai reaksi warganet telah dilontar dalam isu ini.

Ada yang tampil mempertahankan atlet dan ada juga yang menyalahkan pendekatan atau batasan jurulatih dengan atlet dalam sesi latihan.

Bagaimanapun, secara peribadi penulis menganggap bahawa sudah tiba masanya isu gangguan seksual melibatkan atlet wanita seharusnya diangkat menjadi agenda nasional negara.

Ini kerana isu gangguan seksual ini bukanlah berunsurkan enigma sebaliknya ia adalah satu permasalahan yang boleh ditambahbaik dalam menjaga kepentingan kaum hawa dalam industri sukan Malaysia.

Sudah sekian lama kita dapat menyaksikan atlet wanita kita memiliki potensi berkelas dunia.

Namun jika ada perkara seperti ini yang masih berlaku secara tidak langsung ia bukan sahaja menyekat potensi keseluruhan individu sebaliknya ia akan membuatkan wanita trauma untuk terus bergiat dalam industri sukan negara.

Pertama kita harus memahami konsep trauma yang sering berlaku di dalam kesihatan mental manusia.

Trauma bermula apabila sesuatu kejadian atau pengalaman melebihi atau ‘overwhelms’ daripada mekanisma menangani  yang ada pada individu.

Trauma juga adalah merupakan apa-apa tekanan yang berlaku secara tiba-tiba dan memaksa dan pengalaman melaluinya adalah overwhelm.

Bagi individu yang pernah berdepan pengalaman hitam ini, ia bukan mudah untuk tampil ke depan untuk berkongsi detik-detik kesukaran mereka.

Penulis ingin mengucapkan syabas kepada Pandelela yang berani membuka mulut terhadap isu gangguan seksual kerana untuk melakukan sedemikian, kamu harus memiliki kekuatan luar biasa.

Bagi penulis sudah tiba masanya pihak kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) berganding bahu dalam menangani isu ini sebelum ia menjadi lebih serius.

Paling tepat, wujudkan jawatankuasa integriti daripada kalangan wanita di mana penulis percaya langkah ini bukan sahaja membela nasib atlet sebaliknya membuka pintu yang berkonsepkan lebih terbuka kepada atlet wanita dalam berkongsi trauma mereka kepada pihak berkuasa.

Tak perlu ramai pun terlibat dalam jawatankuasaan berkenaan. Mungkin tiga empat orang sahaja atau maksimum lima ahli jawatankuasa di mana tidak perlu jumlah banyak jawatan dalam pertubuhan baharu ini.

Saranan di peringkat awal hanyalah berfokuskan dahulu kepada atlet kebangsaan tetapi penulis percaya KBS akan menjadi satu modul yang berkesan kepada Majlis Sukan Negeri jika pelaksanaan itu dibuat menyeluruh di setiap negeri.

Nasihat penulis, pihak kerajaan harus bertindak lebih pantas dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan atlet wanita dalam dunia sukan Malaysia.

Akhir kata daripada penulis, sama-sama kita selamatkan atlet wanita sebelum nasi menjadi bubur.

Demi lencana di dada!


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d