Lain-Lain

Bukan mudah atasi trauma gangguan seksual, pakar psikologi kongsi punca atlet ‘pendam’ perasaan


Pandelela berkongsi mengenai lawak lucah oleh jurulatih terjun baru-baru ini selepas beberapa tahun kejadian itu berlaku.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

ISU gangguan seksual di kalangan atlet bukanlah perkara baharu di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Minggu lalu, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong turut berkongsi pengalaman berdepan dengan situasi lawak lucah yang selalu dibuat oleh bekas jurulatih negara.

Apa yang mencuri tumpuan, Pandelela hanya berkongsi pengalaman berdepan dengan lawak lucah tetapi hakikat lebih buruk ada dilaporkan atlet terjun dirogol oleh jurulatihnya sendiri pada tahun 2017.

Mungkin ada ‘segelintir’ yang bertanya mengapa Pandelela baharu berkongsi pengalaman pahit itu sekarang dan bukannya ketika waktu kejadian berlaku.

 

Sebenarnya banyak faktor yang menjadi sebab mengapa seseorang atlet atau individu yang terbabit dengan gangguan seksual ini mengambil masa lama untuk berkongsi secara umum.

Menurut Pakar Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Dr. Shaharudin Abdul Aziz terdapat dua faktor utama mengapa atlet atau individu memendam perasaan selepas berdepan dengan situasi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendelela kongsi pengalaman pahit bekas jurulatih suka lawak lucah, kes rogol… KJ tampil bersuara

“Situasi (gangguan seksual) berlaku kepada atlet lelaki ataupun wanita. Apabila terjadi, mereka akan berfikir banyak perkara.

“Antaranya kesan psikologi kepadanya jika dihebohkan segera. Jika ia melibatkan jurulatih atau orang penting, kebarangkalian kariernya akan terganggu.

Profesor Dr. Shaharudin Abdul Aziz

“Yang kedua pula, kebarangkalian kepercayaan orang lain apabila mereka berkongsi pengalaman itu. Jadi dua perkara ini yang menyebabkan mereka rasa bimbang untuk berkongsi dan akhirnya mengambil keputusan untuk memendam sahaja,” kongsinya kepada CakapSukan.

Menurut Dr. Shaharudin, mangsa akan mengambil tempoh lama untuk bercakap mengenai pengalaman pahit mereka.

“Bukan sahaja dalam industi sukan, tetapi sebagai contoh pelakon-pelaokon Hollywood yang berdepan dengan gangguan seksual mengambil tempoh 20 atau 30 tahun untuk melaporkan perkara ini. Ia kerana ketika itu mereka fikirkan tentang karier sebagai pelakon apabila ia melibatkan pengarah atau orang penting.

“Begitu juga situasi atlet-atlet yang berdepan dengan isu ini,” tambahnya yang mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan University of Iowa, Amerika Syarikat.

Evra berkongsi pengalaman berdepan dengan gangguan seksual ketika remajanya pada usia 40 tahun.

Selain kisah atlet negara berdepan dengan gangguan seksual, bekas pemain Manchester United Patrice Evra minggu lalu turut berkongsi pengalamannya diganggu bekas gurunya secara seksual pada usia 13 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Evra dedah kisah pahit alami penderaan seksual

Namun dia hanya berkongsi kepada umum pada usia 40 tahun.

Dia mengambil masa lama untuk berkongsi kerana timbulm perasaan malu dan pandangan orang lain terhadapnya, tambahanya pula ingin menjaga namanya yang berada di kemuncak karier selepas menyertai Manchester United pada tahun 2006.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: