Bola Sepak

Juara Liga Premier 2021 tarik diri saingan Piala Malaysia


Oleh : SUBKHI SUDARJI

JUARA Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC menarik diri dalam saingan Piala Malaysia musim ini ekoran 20 pemain dan empat  pegawainya disahkan positif Covid-19.

Berita sedih ini dikongsikan NSFC menerusi entri rasmi pasukan memaklumkan keputusan dibuat selepas mengambilkira pandangan doktor pasukan dan keselamatan semua pihak.

“Dukacita dimaklumkan bahawa seramai 4 pegawai dan 20 pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) telah sah dijangkiti Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta dipantau selama 10 hari oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ujian pengesanan COVID-19 secara berterusan sedang dilakukan bagi kontak rapat para pemain dan pegawai NSFC yang terlibat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, demi menjaga keselamatan semua pihak serta mengambil berat di atas nasihat yang diberikan oleh Doktor Pasukan, pihak NSFC ingin memohon setinggi-tinggi kemaafan kepada para penyokong pasukan.

“Situasi ini turut menyebabkan pembatalan perlawanan persahabatan menentang Kuching City FC yang sepatutnya diadakan pada 20 Oktober 2021 dan NSFC tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia untuk musim 2021.

“NSFC juga berharap agar para penyokong memberi sokongan dan mendoakan kesejahteraan para pemain dan pegawai pasukan,” katanya.

Dalam masa sama NSFC turut mengesa masyarakat dinasihatkan supaya tidak leka dan kekal mematuhi prosedur standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Berdasarkan kedudukan semasa NSFC kini bersaing hebat dengan Kedah Darul Aman selepas mengumpul tiga mata bagi kedudukan dua terbaik dalam Kumpulan C dan hanya dibezakan tiga mata dengan Melaka United FC yang berada ditangga teratas kumpulan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: