Badminton

Nasib jurulatih para negara jadi tanda tanya

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

Rashid (kanan) merupakan watak penting dalam membantu jaguh Liek Hou pada temasya Paralimpik Tokyo 2020.

 

Oleh : SUBKHI SUDARJI

STATUS masa depan Datuk Rashid Sidek selaku jurulatih badminton para negara terus menjadi tanda tanya sehingga kini selepas tiada kata putus atau perkembangan dari Majlis Sukan Negara (MSN).

Pemenang gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 yang mula menjadi jurulatih badminton para negara sejak 2019 itu menjelaskan dirinya sememangnya bersedia mencurah bakti sekiranya khidmatnya masih diperlukan MSN.

Rashid yang bakal tamat kontraknya hujung tahun ini memaklumkan, perbincangan bersama MSN berhubung penyambungan kontrak untuk tahun depan masih belum diadakan lagi.

“Saya mungkin akan mengadakan perbincangan bersama MSN bulan depan mengenai status kontrak sebagai jurulatih para,” jelasnya ditemui media pada majlis perasmian Hari Sukan Negara 2021 di Putrajaya hari ini.

Jurulatih berusia 53 tahun itu juga berharap dapat mencari pelapis Liek Hou yang boleh diketengahkan untuk membawa cabaran negara pada temasya sukan besar atau kejohanan utama badminton para dunia pada masa depan.

Rashid merupakan watak penting dalam membantu jaguh perseorangan bagi kategori SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou melakar sejarah menjadi pemain pertama negara merangkul emas badminton yang pertama kali disenaraikan di Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun bulan lepas.

Lagenda badminton negara itu pada masa sama memberitahu sedang giat melatih Liek Hou bagi menghadapi temasya dan kejohanan utama seperti Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China dan Kejuaraan Dunia pada tahun depan.

Dalam perkembangan sama, Liek Hou sememangnya menaruh harapan agar MSN dapat menyambung kontrak Rashid sehingga Sukan Paralimpik Paris 2024 di Perancis, tiga tahun dari sekarang.

Walaupun tiada kejohanan bakal ditempuhinya untuk baki saingan tahun ini, Liek Hou sedang berusaha keras di dalam sesi latihan bagi memantapkan permainannya untuk tahun depan selain mahu mencuba meraih emas di Sukan Para Asia 2022.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: