Bola Sepak

Jordan mudah ‘ratah’ Malaysia


Pemain-pemain Jordan merai kemenangan 4-0 ke atas Malaysia pada aksi perlawanan antarabangsa di Amman, Jordan pada Rabu malam.

Oleh: JJFIRDAUS

KESILAPAN mudah dan kealpaan barisan pertahanan menyaksikan Malaysia tewas kepada Jordan 4-0 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium King Abdullah II, Amman malam tadi.

Jaringan hatrik dari Ali Oswan dan satu jaringan oleh Odai Al Saify sudah cukup buat Jordan mengajar Harimau Malaya yang dilihat seakan-akan bermain seperti hilang punca.

Turun dengan skuad yang dilihat seimbang, tetapi anak-anak buah Tan Cheng Hoe nyata gagal menyaingi Jordan walaupun berjaya mengekang asakan mereka pada 35 minit pertama.

Kesilapan Ariff Farhan yang gagal mengeluarkan bola dalam keadaan tidak berbahaya dihukum Jordan dengan gol pembukaan pada minit ke-34 menerusi rembatan Ali Oswan dari dalam kotak penalti.

Tujuh minit kemudian, tindakan penjaga gol Khairul Azhan yang keluar untuk mengawal keadaan tetapi gagal menyaksikan Odai Al Safiy mudah menolak bola ke dalam gawang yang sudah terbuka luas.

Dikala pada awalnya kedudukan dilihat bakal terikat 0-0 tetapi skuad Harimau Malaya melangkah ke bilik persalinan dengan ketinggalan dua gol hasil kesilapan individu.

Tan Cheng Hoe membuat dua pertukaran dengan memasukkan Hakimi Abdullah dan Arif Fadzilah pada permulaan babak kedua untuk memantapkan lagi persembahan tetapi mimpi ngeri terpaksa dilalui skuad negara dalam tempoh dua minit.

Kali ini, Irfan Zakaria pula melakukan kesilapan apabila menanduk kebelakang hantaran jauh Jordan sekaligus menemui Ali Oswan yang tanpa berlengah melepaskan rembatan deras menewaskan Khairul Azhan pada minit ke-48.

Dua minit kemudian, gawang negara bocor sekali lagi juga menerusi Ali Oswan yang bijak membuat larian mengelirukan dan dengan mudah menolak masuk gol keempat Jordan sekaligus menyerlahkan kelemahan benteng Malaysia.

Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim, Kenny Palraj dan Quentin Cheng dibawa masuk tetapi corak permainan Malaysia dilihat statik dan akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 4-0 ini.

Banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Tan Cheng Hoe sebelum Malaysia bertemu Uzbekistan pada 9 Oktober nanti. Kesilapan-kesilapan individu ini perlu diperbaiki untuk mengelakkan Malaysia terus menjadi pasukan belasahan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: