
PASUKAN badminton negara terkandas pada aksi separuh akhir Piala Sudirman selepas tewas 1-3 kepada Jepun di Vantaa, Finland malam ini.
Harapan untuk melihat mata pertama menerusi aksi beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak kesampaian apabila tewas 15-21, 14-21 kepada pasangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Aaron-Wooi Yik gagal mengekalkan rentak kemenangan yang dilakar ketika saingan kumpulan Khamis lalu.
Permainan diteruskan dengan aksi perseorangan wanita yang menampilan S.Kisona tewas mudah kepada Akane Yamaguchi 21-7, 21-5 dalam tempoh 26 minit.

Penampilan ketiga pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menjadi taruhan untuk mengutip mata pertama buat Malaysia, namun bertemu Kento Momota bukanlah tugas mudah.
Pun begitu, Zii Jia tidak memberi ruang kepada pemain No.1 dunia itu dan berjaya mencatat kemenangan pada set pertama, 22-20.
Bersambung pada set kedua, Zii Jia berjaya mengawal tekanan dalam mencari setiap mata penting biarpun Momota terus memberi serangan.
Dalam tempoh 59 minit permainan, Zii Jia berjaya mengetepikan Momota dengan keputusan 21-19 sekaligus mata pertama untuk Malaysia dan menyaksikan kapten negara itu menjerit kepuasan selepas kemenangan tersebut.

Aksi keempat, pasangan beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah menjadi tumpuan selepas mempamerkan aksi bersemangat ketika bertemu pasangan emas Sukan Olimpik Indonesia Greysia Polii-Apriyani Rahayu ketika saingan suku akhir semalam.
Mereka meneruskan semangat juang itu ketika berdepan dengan Mayu Matsumoto-Misaki Matsutomo, namun pasangan Jepun itu berjaya memenangi set pertama dengan 21-19.
Bersambung pada set kedua, pasangan negara terus mempamerkan corak permainan yang baik, berusaha merapatkan mata, malah kental bertahan ketika serangan bertubi-tubi dari pasangan Jepun.
Bagaimanapun, Mayu-Misaki lebih pantas mengutip mata demi mata sebelum mencatat kemenangan 21-16.
Kemenangan pasangan Jepun ini menyaksikan pasukan mereka mara ke final selepas mengumpul tiga kemenangan berbalas satu dari Malaysia.
Menunggu Jepun di pentas akhir esok (Ahad) adalah juara bertahan China yang sebelum ini menumpaskan Korea Selatan dalam aksi yang sama.
Add Comment