Badminton

Piala Sudirman: “Bukti kita tidak ketandusan pemain pelapis” – Norza

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Barisan pemain yang beraksi pada Piala Sudirman 2021. Foto: BAM

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PERSEMBAHAN pasukan badminton Malaysia pada aksi suku akhir Piala Sudirman bertemu Indonesia awal pagi ini masih menjadi bualan peminat-peminat sukan tanah air.

Apa tidaknya, kemenangan 3-2 ke atas musuh tradisi Indonesia dianggap satu pencapaian yang wajar diberi pujian kepada barisan pemain muda badminton negara sekaligus melakar kejayaan ke separuh akhir Piala Sudirman Edisi ke-17 yang berlangsung di Vantaa, Finland ini.

Tanpa mengira ranking pemain-pemain Indonesia yang jelas lebih baik, barisan pemain negara dilihat tidak gentar dan penuh semangat mencari setiap mata kemenangan.

Norza memuji barisan pemain Piala Sudirman yang kini berlangsung di Vantaa, Finland.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut melahirkan rasa sangat bangga dengan semangat juang yang tinggi daripada barisan pemain negara.

“Pemain-pemain muda ini merupakan senior di BAM yang telah diperkenalkan beberapa tahun dulu.

“Kita dapat lihat perancangan mengetengahkan pemain-pemain muda ini telah menunjukkan hasil.

“Saya yakin ini satu permulaan yang baik bagi kita semua dan ia menunjukkan kita tidak ketandusan pemain pelapis.

Aaron/Wooi Yik memberi mata pertama negara ketika bertemu Indonesia di peringkat suku akhir Piala Sudirman.

“Beberapa pemain ini (Lee Zii Jia, S.Kisona dan Aaron Chia/Soh Wooi Yik) merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 dan kali ini kita bawa mereka ke satu peringkat paling tinggi.

“Dan walaupun masih muda, mereka telah membuktikan mampu menakluki dunia,” jelasnya ketika dihubungi CAKAP SUKAN pada Sabtu.

Dalam pada itu, Norza memberitahu beliau yakin dengan semangat juang barisan pemain menjelang perlawanan menentang Jepun pada aksi separuh akhir malam ini (9 malam).

“Bila kita dapat kalahkan tradisi Indonesia, ia juga membuktikan tembok Jepun bukan mustahil untuk dirobohkan.

“Saya yakin pemain-pemain akan pamerkan semangat juang yang sama atau lebih lagi nanti,” tambahnya.

Beregu wanita negara M.Thinaah/Tan Pearly turut tampil dengan aksi berani menentang pasangan emas Sukan Olimpik Indonesia.

Pada aksi suku akhir awal pagi Sabtu, Malaysia berjaya mengutip mata kemenangan menerusi perseorangan lelaki Zii Jia, beregu lelaki Aaron/Wooi Yik dan beregu campuran Hoo Pang Ron/Cheah Yee See.

Untuk rekod, kali terakhir pasukan Malaysia layak ke separuh akhir pada edisi ke-11, 2009 di Guangzhou, China.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: