
Oleh: SURYATI MOHD NOR
PASUKAN Malaysia mara ke separuh akhir Piala Sudirman selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Indonesia pada aksi suku akhir di Vantaa, Finland awal pagi Sabtu.
Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia/Soh Wooi Yik tampil mempamerkan permainan dengan strategi serangan yang baik ketika turun bertemu pasangan beregu No.1 dunia dari Indonesia Kevin Sanjaya Sukamuljo/Marcus Fernaldi Gideon yang menyaksikan Malaysia menang pada set pertama 21-12 dalam tempoh 13 minit.
Pada set kedua menyaksikan kedua-dua pasangan menunjukkan corak permainan yang lebih pantas, sentiasa mengejar mata, namun permainan lebih memihak kepada Aaron/Wooi Yik sehingga berjaya mencatat kemenangan 21-15 sekaligus memberi kemenangan pertama kepada negara.
Sementara itu, aksi kedua negara dibawa oleh S. Kisona,23, yang kini berada di ranking ke-53 dunia, berjaya mengheret permainan ke ‘rubber-set’ namun nasib tidak menyebelahinya apabila tewas 22-20, 19-21, 19-21 kepada pemain perseorangan wanita Indonesia Gregoria Mariska Tunjung yang berada di ranking ke-21 dunia.
Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia berjaya memberi satu lagi mata menerusi kemenangan ke atas Anthony Sinisuka Ginting dengan keputusan 21-11,21-16 dalam tempoh 44 minit.
Pasangan beregu wanita negara Tan Pearly/M.Thinaah mempamerkan aksi menarik menentang saingan pasangan emas Sukan Olimpik Greysia Polii/Apriyani Rahayu pada set pertama namun tewas dengan mata 20-22 dalam masa 28 minit.

Tanpa gentar, pasangan beregu negara bangkit pada set kedua untuk membawa ke aksi penentuan selepas menang 21-17 juga dalam tempoh 28 minit.
Pada set penentuan, pasangan beregu negara terus memberi tekanan dengan merapatkan mata namun terpaksa akur dengan keputusan 18-21 dalam tempoh keseluruhan 1 jam 31 minit.
Dengan keputusan seri 2-2, beregu campuran Hoo Pang Ron/Cheah Yee See menjadi harapan untuk meraih mata kemenangan bertemu pasangan beregu campuran Indonesia, Jordan Praveen-Oktavianti Melati Daeva.
Namun bukan tugas mudah buat pasangan negera untuk menghalang serangan pasangan Indonesia yang kini berada di ranking ke-4 dunia apabila permainan diheret ke aksi ‘rubber-set’ selepas Pang Ron/Yee See mencatat kemenangan pada set pertama 21-19.

Namun pada set kedua, pasangan negara dilihat serba tidak menjadi menyaksikan permainan dikuasai pasangan Indonesia dengan keputusan 9-21.
Bagaimanapun pada set penentuan, pasangan negara kembali menemui rentak mendahului kutipan mata sebelum menamatkan permainan dengan keputusan 21-16.
Dengan kemenangan ini bakal menyaksikan pasukan Malaysia akan bertemu Jepun pada saingan separuh akhir selepas naib juara 2019 itu menewaskan Chinese Taipei 3-1 dalam satu lagi saingan suku akhir.
Kali terakhir Malaysia mara ke separuh akhir pada edisi ke-11, 2009 di Guangzhou, China.
Add Comment