
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PENGENDALI Sarawak United FC, E Elavarasan tidak menjangkakan pasukannya akan meraih tiga mata penuh ketika melayan kunjungan Sri Pahang FC, malam tadi.
Melihatkan reputasi dan pengalaman Tok Gajah dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia sebelum ini, Elavarasan menghormati pasukan lawan.
“Tak sangka dapat tiga mata penuh, Sri Pahang FC adalah pasukan terbaik, secara keseluruhan kedua-dua pasukan ada peluang jaringkan gol.
“Bila kami sudah mendahului lawan kita dapat lihat pelawat mula menekan untuk memburu gol penyamaan namun pemain berjaya mempamerkan disipilin yang tinggi mengekang asakan tersebut,” katanya.
Pada aksi digelanggang sendiri malam tadi, jaringan tunggal pemain Sarawak United FC (SUFC) , Tommy Mawat Bada pada minit ke-60 memastikan mereka meraih mata penuh selepas dua perlawanan dan berada ditangga teratas Kumpulan A, Piala Malaysia.
Tempat kedua pula menjadi milik Kuala Lumpur City FC yang mengutip empat mata selepas seri 1-1 menentang Penang FC manakala tempat ketiga milik Harimau Kumbang dengan satu mata dan Sri Pahang FC menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.
Selepas rehat antarabangsa, Sarawak akan berdepan KL City FC sementara Sri Pahang pula akan melayan kunjungan Penang FC.
Add Comment